PASIR MAS - Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengambil kira pandangan semua peringkat dalam menyelesaikan kemelut politik Kedah yang melibatkan jawatan menteri besar, mencerminkan kebijaksanaan pucuk pimpinan.
Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata Najib yang juga Presiden Umno dalam menangani isu pertukaran Menteri Besar Kedah itu tidak mengambil langkah terburu-buru, sebaliknya menggunakan saluran, proses dan kaedah yang betul sebelum membuat keputusan.
"Selepas kemelut tersebut tercetus, Najib terlebih dahulu mendapat maklum balas semua pihak termasuk (Menteri Besar Kedah) Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sendiri meskipun Presiden Umno itu mempunyai kuasa menentukan calon Menteri Besar.
"Dalam isu ini Najib juga mengambil masa berjumpa dengan ketua-ketua Umno bahagian, wakil-wakil rakyat bagi mendapatkan maklum balas sebelum membuat sebarang keputusan," katanya.
Annuar berkata demikian selepas menziarahi tokoh veteran Umno, Tan Sri Hussein Ahmad di kediamannya di Kampung Lemal di sini, hari ini.
"Pada saya, ini satu contoh pemimpin yang menggunakan kebijaksanaan dan saya percaya kemelut ini akan diselesaikan dengan baik," kata Annuar.
Polemik pertukaran Menteri Besar Kedah itu bermula 20 Jan lalu apabila pemimpin-pemimpin Umno Kedah yang diketuai Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menyatakan pendirian menolak kepemimpinan Mukhriz.
Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata rakyat tidak perlu membuat spekulasi berhubung proses tersebut sebaliknya membiarkan ia berjalan mengikut budi bicara dan peraturan yang ada oleh pihak berkuasa. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
No comments:
Post a Comment