Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi berkata orang ramai tidak harus menyalahkan kerajaan sedia ada terhadap kontrak penswastaan yang dibuat di era kepimpinan sebelum ini.
“Najis yang terpalit itu dibuat dari dulu,” katanya tanpa menyebut secara langsung mana-mana pihak.
Beliau juga mengakui kontrak lebuh raya, pengeluar tenaga bebas (IPP) dan kereta api ERL ke lapangan terbang berat sebelah.
Zahid enggan menamakan secara khusus pihak bertanggungjawab.
Beliau bagaimanapun dipercayai merujuk kepada perdana menteri keempat Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) yang kini menjadi pengkritik keras Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Najib dalam ucapan penggulungan perhimpunan agung Umno pada 12 Disember lalu berkata kenaikan tinggi tambang ERL dari RM35 kepada RM55 hasil perjanjian ditandatangani pada 1997.
Sementara itu, Zahid hari ini berkata orang ramai juga mempunyai tanggungjawab bersama dengan kerajaan.
Zahid berkata demikian dalam sebuah acara bersama 50 NGO hari ini.
Dalam acara itu, seorang pelajar pascasiswazah bertanya sama ada kerajaan akan mengeluarkan kad diskaun pengangkutan untuk pelajar.
Menjawab soalan itu, Zahid berkata jika kad diskaun diberikan untuk ERL, kerajaan terpaksa membayar pampasan RM2.9 kepada pengendalinya Express Rail Link Sdn Bhd.
No comments:
Post a Comment