KUALA LUMPUR: Saranan agar rakyat melakukan lebih dari satu kerja bagi menangani kos sara hidup oleh Datuk Ahmad Maslan telah disalah tafsir oleh media.
Demikian keluhan Ahmad Maslan yang mengakui niatnya hanyalah supaya rakyat menggunakan platform perniagaan dalam talian selain melakukan pekerjaan sedia ada untuk menambah pendapatan.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, saranan itu dilakukan berikutan pemerhatian beliau terhadap rakyat negara ini yang sangat suka menggunakan media sosial.
“Rakyat Malaysia sangat suka melayari media sosial seperti WhatsApp, Facebook dan Twitter hingga lewat malam. Saya tidak faham bagaimana ia membantu mereka.
“Jadi saya berpendapat, alangkah eloknya jika mereka belajar e-commerce, e-dagang dan sebagainya supaya ia dapat dimanfaatkan untuk menjana pulangan yang menguntungkan,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan di Menara Martrade pada Rabu.
Beliau, yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia menambah, formula seperti (p)endidikan tinggi, (k)emahiran tinggi, (p)roduktiviti tinggi dan (k)eusahawan atau niaga yang biasanya digunakan untuk meningkatkan pendapatan.
“Jika dirumus, saya namakan ia sebagai formula ‘PKPK’ untuk mengatasi kos sara hidup dan dalam bidang keusahawanan, perkara yang saya nampak adalah niaga dalam talian.
“Saya berikan suatu yang positif tetapi digambarkan dengan negatif ditambah pula komen dari Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Tan Sri Shahrir Samad dan juga Tengku Razaleigh Hamzah,” katanya lagi.
Pada Selasa, veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah menyatakan masalah yang dihadapi rakyat masa kini bukan melibatkan soal dua pekerjaan sebaliknya peluang pekerjaan itu sendiri yang tidak mencukupi.
“Macam mana saya nak cari kerja sedangkan satu kerja pun tidak ada sekarang?” sindirnya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Tabung Kemanusian Pelajar Melayu Mesir, pada Selasa.
No comments:
Post a Comment