KUALA LUMPUR - Sokongan padu yang dizahirkan Wanita Umno hari ini mendapat penghargaan Presiden Umno dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berterima kasih di atas jasa serta pengorbanan mereka selaku tulang belakang parti itu selama ini.
Najib, yang menyampaikan penghargaan itu secara spontan ketika singgah meninjau perjalanan perhimpunan agung sayap itu pagi ini, berkata Wanita Umno telah melakukan kerja-kerja yang cukup baik demi parti.
"Saya nak ucapkan terima kasih kerana Ketua Wanita (Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil) telah melafaz sokongan yang tidak berbelah bahagi. Terima kasih kepada Wanita dan teruskan kerja-kerja yang cukup baik yang dilakukan Wanita.
"Sebelum pilihan raya, semasa pilihan raya, masa pilihan raya kecil, siang malam macam-macam dibuat Wanita... kami amat menghargai. Terima kasih Wanita Umno Malaysia," katanya yang turut melaungkan 'Hidup Wanita' sebanyak tiga kali yang disambut gemuruh 983 anggota perwakilan Wanita yang hadir.
Terdahulu, Shahrizat semasa berucap merasmikan perhimpunan itu, antara lain mengajak semua perwakilan untuk bersatu teguh berdiri di sisi presiden parti dan memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Najib.
"Biar Wanita mendahului memberi kekuatan kepada Datuk Seri Najib mengemudi parti. Biar Wanita menjadi benteng mempertahankan parti," katanya.
Najib yang hadir bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor turut melancarkan Tabung Pejuang Nadi Rakyat yang merupakan inisiatif pergerakan sayap itu dalam memastikan kebajikan dan bantuan pejuang veteran Wanita Umno diberi perhatian.
"Penubuhan tabung ini adalah sebagai mengenang jasa pejuang kita yang terdahulu, ketua dan pemimpin Wanita yang kini sudah berumur, sakit, ditimpa bencana dan musibah dan sebagainya.
"Pada masa ini terdapat lebih 1.3 juta ahli Wanita Umno yang aktif dan dengan penubuhan tabung seperti ini akan memastikan terdapat pembelaan untuk ahli Wanita terutama untuk mereka yang memerlukan bantuan agar meringankan beban yang dihadapi," kata Shahrizat menerusi satu kenyataan. - Bernama