Khazanah Research Institute (KRI) menjangkakan kerajaan tidak mempunyai pilihan selain mengkaji semula pemberian subsidi kepada rakyat pada tahun depan.
Pengarah Penyelidik KRI, Dr Muhammed Abdul Khalid berkata walaupun kejatuhan harga minyak akan memberi sedikit kelegaan kepada rakyat, namun ia akan memberi kesan secara langsung kepada pendapatan negara.
Tambahnya, jika kerajaan terpaksa menarik semula subsidi, ia sekaligus akan memberi tekanan kepada rakyat seiring peningkatan kos sara hidup masa kini.
"Apabila harga minyak jatuh, pendapatan juga akan berkurang. Mungkin kerajaan akan mengkaji balik subsidi-subsidi (yang akan diberikan kepada rakyat).
"Adakah kita mampu memberi subsidi ataupun tidak. Ini memberi tekanan sekali lagi kepada pengguna," katanya ketika dihubungiAstro AWANIdi sini pada Rabu.
Malah, katanya beberapa faktor lain akan turut membelenggu rakyat pada tahun 2016 terutama membabitkan nilai pertukaran mata wang dan kos pengangkutan.
"Bagi saya, tahun 2016 amat mencabar. Saya bagi beberapa contoh, kita tengok kos makanan akan lebih meningkat kerana kita tidak nampak pembaikan kepada kadar pertukaran wang Malaysia (Ringgit) kepada nilai Dolar Amerika. Jadi bil import kita akan meningkat.
"Kedua, kos pengangkutan akan naik, tol naik, komuter, ERL...ini menambahkan kos. Ketiga, yang mungkin boleh meredakan sikit kos sara hidup ini, kos minyak dijangka tidak akan naik, yang itu akan mengurangkan sedikit tekanan. Jadi kalau saya nak simpulkan untuk 2016, ia tahun yang amat-amat mencabar," katanya.
Beliau pada masa sama turut mengulas berhubung kenaikan kos makanan termasuk kajian KRI yang melihat trend rakyat Malaysia yang pada masa kini semakin menurun.
Menurutnya, sejak pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada April lalu, KRI mendapati Indeks Harga Pengguna (Makanan) semakin meningkat.
"Kalau kita tengok indeks pengguna berkurangan kerana harga minyak jatuh, tetapi kalau kita pecah kepada indeks makan, ia semakin meningkat.
"Ada beberapa faktor termasuk GST, pertukaran nilai mata wang Ringgit kepada USD semakin berkurangan. 30 peratus makanan kita diimport, jadi harga makanan jadi semakin mahal.
"Baru-baru ini masa tiga atau empat bulan lalu kita mengalami jerebu. Jadi harga sayur naik 12 peratus, harga ikan naik 6 peratus dan harga buah-buahan pun naik 6 peratus," katanya.
No comments:
Post a Comment