Thursday 31 December 2015

'Kerjasama dengan Umno, pemimpin PAS tak berpecah tapi bercelaru'

Zulaikha Zulkifli
Dikemaskini 
 
Sejak Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 yang julung kali diadakan minggu lalu bagi merintis jalan ke arah kerjasama dua parti Melayu terbesar, iaitu PAS dan Umno, parti Islam itu dikatakan berada dalam kecelaruan.
Bagi sesetengah penganalisis, PAS kini dilihat seolah-olah terumbang-ambing dengan beberapa kenyataan yang mendakwa ia ingin menjalinkan kerjasama bersama Umno.
Walaupun Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat "positif" terhadap kerjasama itu, namun perkara sebaliknya pula berlaku apabila pemimpin nombor dua parti, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man tidak bersetuju dengan usaha itu.
Malah, naib presiden PAS Idris Ahmad dan Datuk Iskandar Samad turut menyatakan hasrat sama.
Sehubungan itu, penganalisis politik Dr Jeniri Amir berpendapat, kecelaruan yang berlaku dalam PAS sekarang ini kemungkinan disebabkan ada di kalangan ahli parti itu yang tidak mahu turut terpalit dengan krisis yang menyelubungi Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.
Malah, beberapa isu yang melibatkan kerajaan persekutuan dan Kelantan serta isu-isu lain turut menjadi punca mengapa sesetengah pimpinan PAS tidak bersetuju untuk menjalinkan kerjasama bersama Umno.
"Memang akan sentiasa ada dua puak dalam parti, lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang apabila pemimpin BN dilihat dibelenggu masalah yang kita sedia maklum. Akar umbi PAS juga tertanya-tanya adakah betul kerjasama ini untuk satukan ummah.

"Apa yang dilakukan Umno sebelum ini dilihat tak adil pada PAS dan kerajaan PAS seperti di Kelantan, tentang isu royalti dan apa yang membelenggu kepimpinan Umno sekarang ini dan mereka (sebilangan pemimpin PAS) tidak mahu terpalit dan dilihat bersekongkol dengan isu tersebut," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) itu juga berpendapat, walaupun terdapat desas-desus yang mengatakan PAS dan Umno akan bekerjasama, namun perkara itu sukar akan menjadi realiti.
Katanya, untuk jalin kerjasama, dalam PAS perlu mengambil kira pandangan akar umbi malah perlu ada keikhlasan.
"Tidak mungkin (mereka bersatu) kerana mereka ini seperti minyak dan air. Tapi kemungkinan untuk bekerjasama mungkin ada tapi susah sikit kerana berdasarkan rekod dan kenyataan mereka yang lalu, mereka sentiasa berusaha untuk bersama tapi gagal.
"Kalau betul nak jalin, Umno harus dilihat sebagai parti yang betul-betul adil dari segi untuk laksanakan segala dasar peruntukan serta keikhlasan yang penting ia perlu dilakukan sebelum ia mula berunding," katanya lagi.
Selain itu, bagi seorang lagi penganalisis politik, Profesor Dr Mohd Agus Yusoff, beliau berpandangan, sekiranya kerjasama antara PAS dan Umno ingin dilakukan, kedua-dua parti itu perlu menukar matlamat yang ingin mereka bawa.
Katanya, kedua-dua parti tersebut perlu membuang perkara klise seperti demi Melayu dan Islam untuk bekerjasama.
Apa yang paling penting ialah dua parti tersebut perlu membawa isu rakyat dan selesaikannya bersama, tambahnya.
"Kalau mereka jujur dan berani untuk bekerjasama, isu Melayu- Islam itu terlalu cliche. Mereka perlu lakukan kerjasama kerana perlu atasi banyak masalah dan angkat masalah rakyat seperti (cukai barangan dan perkhidmatan) GST, kenaikan tol dan masalah rakyat yang lain.
"Angkat masalah yang dihadapi rakyat dan ia perlu berpihak kepada rakyat," kata pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu.
Malah, ditanya mengenai kecelaruan dalam PAS, beliau berkata apa yang berlaku ialah masalah keyakinan akar umbi parti Islam itu terhadap Umno.
"Bukan berpecah tapi keyakinan penyokong yang tak dapat terima (Umno). Mereka risau kerana kerjasama itu dilihat tak ada hala tuju dan masih terbatas seperti isu hudud, sokongan terhadap dasar kerajaan. Ia seperti membawa tujuan peribadi.
"Tapi kalau tukar tujuan kerjasama itu dengan membawa isu rakyat, mungkin perpaduan itu boleh dilaksana dan membawa perubahan," katanya lagi.
Perkara sama turut dikongsi oleh Prof Ahmad Atory Hussain yang berpandangan PAS perlu memberi penerangan kepada akar umbi serta pemimpin parti yang tidak bersependapat dengan Abdul Hadi.
Bagaimanapun bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu berkata, walaupun terdapat suara yang tidak bersetuju dengan Abdul Hadi namun di akhirnya semua akar umbi parti akan akur dengan keputusan yang dibuat oleh pemimpin mereka.
"Dalam hal ini, ada ahli parti yang tak memahami. Tapi kalau pemimpin dapat terangkan perkara sebenarnya saya rasa mereka akan OK. Perlu diterangkan tentang benda yang tersirat dan tersurat
"Perpecahan memang ada. Dalam Umno pun ada suara sumbang tapi tak sehebat PAS. Tetapi sistem ini lebih demokratik dari Umno. PAS membenarkan semua bersuara dan Hadi tak kawal. Dia biarkan semua orang bercakap berbanding Umno, Umno kawal semua dan sistemnya tertutup sikit.
"Tapi PAS, pada akhirnya mereka akan akur dengan keputusan dan rumusan yang dibuat Hadi. Mereka juga akhirnya akan patuh pada Majlis Syura dan pemimpin mereka," katanya.
Isu mengenai kerjasama antara PAS dan Umno kembali timbul apabila bekas Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa melakukan "serangan" terhadap Abdul Hadi yang didakwa ingin melakukan kerajaan perpaduan dengan Umno selepas pilihan raya umum ke-12.
Lebih menghangatkan lagi perkara ini apabila Najib dijemput merasmikan Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 dan dilihat mengenakan pakaian warna sedondon dengan Abdul Hadi.
Dalam majlis tersebut, perdana menteri turut menawarkan hubungan kerjasama Umno bagi membentuk hubungan rapat dengan PAS dengan memetik ayat al-Quran tentang kepentingan perpaduan.
Bagaimanapun di tengah-tengah isu keakraban Umno-PAS, Idris kemudian menegaskan bahawa pandangan peribadi tidak boleh dipakai dalam isu itu dan jika ada individu yang mahukan gabungan tersebut, perlu keluar daripada parti.
511

No comments:

Post a Comment