Thursday, 17 December 2015

Jabatan Imigresen Pulau Pinang berjaya menyelamatkan 48 wanita warga asing yang dipercayai  menjadi mangsa jenayah pemerdagangan manusia dalam satu serbuan  awal pagi Khamis.

Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Pulau Pinang, Abdul Rahman Hassan  berkata, serbuan di lakukan di sebuah premis hiburan di Perai, kira-kira jam 12.50 pagi Khamis susulan maklumat awam.

Kata beliau, dalam serbuan itu, yang turut mendapat kerjasama Unit  Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) dari Ibupejabat Imigresen Putrajaya, mereka telah menyelamatkan  mangsa yang terdiri daripada  19  wanita warganegara China dan 29 wanita  Vietnam.

Kata Abdul Rahman, hasil siasatan mendapati kesemua mangsa yang berusia antara 20 hingga 30 tahun itu masuk ke negara ini  menggunakan pas lawatan sosial.

"Semua wanita warga asing itu, dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan orang dan penyeludupan migran sebelum dipaksa bekerja sebagai pelayan pelanggan di pusat hiburan berkenaan.

"Mereka dibawa masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial dan tidak memiliki dokumen perjalanan lain termasuk permit bekerja," katanya.

Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengenal pasti tempoh masa mereka  telah berada di negara ini.

Kes kini disiasat menurut Akta ATIPSOM 2007.

No comments:

Post a Comment