Monday, 23 November 2015

Peningkatan hujan di Pantai Timur Semenanjung bermula Khamis
Berdasarkan analisis model-model cuaca numerikal, terdapat kebarangkalian berlaku luruan sejuk lemah pada 25 dan 26 November ini. - Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR: Negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung dijangka menerima peningkatan hujan bermula Khamis ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), Datuk Che Gayah Ismail memaklumkan, berdasarkan analisis model-model cuaca numerikal, terdapat kebarangkalian berlaku luruan sejuk lemah pada 25 dan 26 November ini.

Katanya, kejadian luruan sejuk lemah itu boleh menyebabkan jumlah hujan meningkat di negeri-negeri Pantai Timur untuk tempoh satu hingga tiga hari bermula 26 atau 27 November 2015.

"Kita dapati sekiranya berlaku hujan lebat boleh menyebabkan banjir kilat sepertimana yang telah kita alami.

JMM juga telah keluarkan tinjauan untuk seminggu sebagai makluman awam, sehingga 29 haribulan, bermula 26  atau 27 haribulan, hujan akan lebih banyak untuk Pantai Barat Semenanjung dan negeri-negeri Pantai Timur dan dari segi ketepatan adalah 65 peratus sehingga 70 peratus, bermakna kita keluarkan maklumat ini sebagai untuk orang awam bersiap sedia dari segi hujan lebat," ujarnya ketika dihubungi Astro AWANI.

Pada masa sama, katanya, untuk tempoh tersebut, keadaan cuaca di Semenanjung dijangka menjadi lebih lembap sementara tiada perubahan ketara bagi Sabah dan Sarawak.

Hujan dijangka berlaku di satu atau dua tempat sahaja di kawasan pantai negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung dan Timur Sabah pada awal pagi.
Sementara itu pada sebelah petang dan malam, hujan ribut petir dijangka berlaku di beberapa tempat di semua negeri Semenanjung, Sarawak dan bahagian barat Sabah. 

No comments:

Post a Comment