Sunday, 18 October 2015

BERITA  |  MALAYSIA

Bolehkah Persekutuan Malaysia berpecah?

Bolehkah Persekutuan Malaysia berpecah?
Selagi rakyat menyayangi negara dan berdiri teguh bersamanya, kedaulatan Persekutuan Malaysia tidak akan luntur dan akan tetap terpelihara.
Malaysia sudah wujud sebagai sebuah negara merdeka yang berdaulat hampir 6 dekad.

Tidak seperti Hong Kong dan Singapura yang merupakan nadi perdagangan British di Timur, pihak penjajah British tidak banyak membuat pelaburan di Tanah Melayu dan British Borneo untuk tujuan pembangunan infrastruktur.

Pihak penjajah British menjarah habis-habisan hasil kekayaan negara untuk tujuan kepentingan ekonomi British sahaja.

Nasib rakyat tempatan tidak terbela. 

Setelah mencapai kemerdekaan, Malaysia muncul kini sebagai salah sebuah negara perdagangan yang terbesar di dunia.

Pembangunan yang begitu pesat dikagumi seantero dunia.

Maju

Kualiti hidup rakyat dan tahap pendidikan anak bangsa mengalami peningkatan yang memberansangkan terutamanya di kalangan Bumiputra, golongan yang terpinggir sewaktu zaman penjajahan.

Walaubagaimanapun, kini terdapat suara-suara yang mendorong terhadap pemisahan negeri-negeri dalam Persekutuan Malaysia.

Adakah ini sesuatu yang tidak mustahil menurut amalan undang-undang antarabangsa?

Sejarah

Malaysia bersusur-galurkan kesultanan-kesultanan Melayu pra-penjajahan.

Tanah Melayu pernah didominasi kesultanan Johor, Negeri Sembilan, Kelantan, Pahang, Terengganu, Selangor, Perak, Kedah dan Perlis.

Kesultanan Johor merupakan kerajaan Melayu terakhir yang tunduk kepada tekanan British pada tahun 1914.

johor flag

Kesultanan Johor berasal dari Empayar Johor-Riau yang mempunyai wilayah luas mencakupi negeri Johor dan provinsi-provinsi Riau dan Kepulauan Riau di Indonesia.

Kesultanan Johor-Riau telah dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Kesultanan Johor moden dan Kesultanan Riau pada tahun 1824 oleh pihak British dan Belanda yang mengambil kesempatan ke atas ketidakstabilan politik terkait soal perebutan takhta.

Sebelum itu, Johor telahpun kehilangan pulau Singapura apabila wilayah ini telah diserahkan kepada British pada tahun 1819, dan sehingga kini kekal sebagai sebuah negara yang berbeza.

Di seberang Laut China Selatan, Kesultanan Melayu Brunei mendominasi Sarawak sebelum menyerahkannya kepada James Brooke.

Sarawak kemudiannya dijadikan negeri persendirian keluarga Brooke sebelum ianya diserahkan kepada British di akhir Perang Dunia Kedua.

Sabah pula diperintah oleh Brunei dan Sulu sebelum kedaulatan keatasnya dipindahkan kepada British menerusi Syarikat Berpiagam Borneo Utara.

Senasib Johor, wilayah Kesultanan Brunei yang dahulunya luas membentang ke seluruh pelusuk perairan Pulau Borneo mengecil secara drastik ke keluasannya yang sekarang kerana kegagalan pemerintah tempatan untuk menghalang kemasukan kuasa asing.

Selepas tamatnya Perang Dunia Kedua pada tahun 1945, pihak British menguar-uarkan gagasan Malayan Union pada tahun 1946.

Gagasan ini dikatakan akan menghakis ketuanan dan hak orang-orang Melayu di Tanah Melayu.

Akibatnya, Malayan Union ditentang hebat dan akhirnya diganti dengan Persekutuan Malaya pada tahun 1948. Malaya mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 lebih awal dari Singapura dan British Borneo.

Pihak British membenarkan Sabah dan Sarawak berkerajaan sendiri pada tahun 1963 dan negeri-negeri ini bergabung dengan Malaya (yang merupakan negara berdaulat pada ketika itu) untuk membentuk Persekutuan Malaysia.

Walaupun Malaysia dibentuk pada tahun 1963, tahun keahlian Malaysia sebagai negara ahli kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) tetap kekal pada tahun 1957, yakni tahun Malaya mencapai kemerdekaan.

Sesuai dengan pembentukan Malaysia, Tengku Abdul Rahman Putra Al Haj, Perdana Menteri Malaya pada ketika itu dijawatkan semula sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Tunku Abdul Rahman

Ketua negara Malaya (Yang di-Pertuan Agong), lagu kebangsaan, ibu negara dan Perlembagaan Persekutuan yang digunapakai oleh Persekutuan Malaya yang merdeka dan berdaulat tidak diubah, melainkan dengan beberapa pindaan untuk menerima masuk penggabungan Sabah, Sarawak dan Singapura ke dalam Persekutuan bersama Malaya.

Singapura telah dikeluarkan daripada Persekutuan Malaysia oleh kerajaan Persekutuan pada tahun 1965.

Bolehkan Persekutuan Berpecah?

Malaysia pada hari ini dibentuk oleh 14 buah negeri, seperti yang dipamerkan oleh bilangan jalur pada panji negara, Jalur Gemilang.

bendera malaysia

Malaysia juga boleh dikatakan dibentuk oleh tiga komponen – Malaya, Sabah dan Sarawak.

Walaubagaimanapun, deskripsi yang pertama adalah lebih tepat kerana ianya berketepatan dengan peruntukan Fasal 1(2) Perlembagaan Persekutuan.

Persekutuan Malaysia telah berjaya menggabungkan 14 buah negeri ini bersama sejak 1963.

Namun, terdapat pernyataan kontroversi yang mengusulkan idea bahawa negeri-negeri dalam Malaysia berhak untuk keluar dari Persekutuan.

Sebagai contoh, Perlis berhak keluar sekiranya ia berkehendak sedemikian, dan hak yang sama terpakai untuk Perak, Selangor, Johor, Sarawak atau negeri-negeri lain di Malaysia.

Adakah ini tidak mustahil menurut amalan undang-undang antarabangsa?

Malaysia telah menjadi negara berdaulat untuk separuh abad. Masyarakat dunia menerusi konsep precription telah mengiktiraf semua negeri-negeri di dalam Persekutuan sebagai sebahagian dari Malaysia.

Oleh itu, negeri-negeri di dalam Malaysia tidak berhak untuk keluar sewenang-wenangnya kerana perlakuan ini akan melanggar Fasal 1(2) Perlembagaan Persekutuan.

Terdapat tanggapan salah yang menganggap sekiranya Singapura boleh jadi negara merdeka, pilihan ini boleh terpakai untuk negara-negara lain juga.

Perlu diingatkan bahawa Singapura tidak keluar tetapi dikeluarkan dengan kehendak dan kebenaran Kerajaan Persekutuan pada ketika itu.

sg out

Sejak 1965, Singapura tidak lagi dianggap negeri bagian Malaysia seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tuntutan kemerdekaan bukanlah perkara asing bagi negara-negara di Asia Tenggara.

Tiga wilayah paling selatan di Thailand iaitu Pattani, Yala dan Narathiwat telah berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan dari Bangkok selama satu abad.

Trend yang sama berlaku di Indonesia ketika ini dengan Maluku Selatan dan Papua cuba untuk melepaskan diri dari pentadbiran Jakarta.

Operasi Papua Merdeka (OPM) masih lagi aktif di pedalaman provinsi Papua manakala kerajaan tidak diiktiraf Republik Maluku Selatan masih beroperasi dalam buangan.

Bangsamoro di selatan Filipina masih lagi bergiat dalam gerakan pemisahan dari kerajaan pusat di Manila sehingga hari ini.

Contoh-contoh amalan negara-negara lain di dunia menunjukkan kemerdekaan hanya boleh tercapai untuk sesebuah wilayah sekiranya gerakan kemerdekaan ini mendapat persetujuan dari kerajaan pusat negara pemerintah.

Provinsi Timor Timur di sudut timur Nusantara telah dijajah oleh Indonesia tanpa kerelaan rakyat tempatan pada tahun 1975.

Akibatnya, keganasan meletus di Timor Timur mengakibatkan banyak nyawa terkorban.
 Seruan pemisahan sebarang negeri-negeri dari Persekutuan Malaysia adalah suatu yang sangat membimbangkan  
Twitter Facebook Email Google Whatsapp

Pada awalnya, Indonesia tidak mempunyai sebarang niat untuk memberikan kemerdekaan kepada wilayah ini dan mentadbir provinsi Timor Timur selama 25 tahun.

Walaubagaimanapun, tekanan masyarakat antarabangsa yang muncul daripada keganasan yang memuncak telah memaksa Presiden Indonesia pada ketika itu, B.J. Habibie untuk meminta pihak PBB menganjurkan referendum kemerdekaan di wilayah bergolak itu pada tahun 1999.

70% rakyat Timor memilih kemerdekaan dan provinsi ini menjadi negara berdaulat di bawah nama Timor-Leste pada tahun 2002.

Scotland adalah negara bagian United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland (UK) sejak 1707.

Walaupun mempunyai status negara maju, terdapat tuntutan dari sebahagian rakyat Scotland yang mahukan kemerdekaan.

Dengan kebenaran kerajaan pusat di London, referendum kemerdekaan telah dijalankan pada 18 September 2014 dengan sebahagian rakyat Scotland memilih untuk tetap bersama dengan UK.

Greenland juga adalah satu lagi contoh yang baik buat penerangan.

Digelar Kalaallit Nunaat dalam bahasa Greenlandic, Greenland telah menjadi jajahan Denmark sejak 1814.

Ia menjadi wilayah di dalam Denmark pada tahun 1953.

Greenland mencapai taraf berkerajaan sendiri pada tahun 2009, yang menyaksikannya mengambil alih kuasa penguatkuasaan undang-undang dan pelaksanaan sistem perundangan dari tangan Denmark.

Bahasa kebangsaan Greenland ditukarkan dari bahasa Danish ke bahasa Greenlandic. Denmark bagaimanapun masih bertanggungjawab menguruskan hal-hal pertahanan dan hubungan luar Greenland.
Walaupun diletakkan di bawah penguasaan Denmark selama 200 tahun, Greenland kini sedang bergerak ke arah kemerdekaan penuh menjelang tahun 2021.

Sebagai negara penaung, Denmark tidak membantah aspirasi kemerdekaan yang ditunjukkan segenap rakyat di Greenland.

Di Afrika pula, kemerdekaan Sudan Selatan pada tahun 2011 adalah manifestasi bahawa sesebuah provinsi dalam sesebuah negara hanya boleh mencapai kemerdekaan sekiranya kempen tersebut disokong oleh kerajaan pusat negara pentadbir.

Presiden Sudan, Omar al-Bashir menyokong referendum kemerdekaan Sudan Selatan dengan menyatakan bahawa beliau akan menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat di selatan. Sudan Selatan menjadi negara berdaulat pada tahun 2011.

Tidak seperti Timor-Leste, Scotland, Greenland atau Sudan Selatan, belum pernah ada sebarang tuntutan pemisahan atau kemerdekaan secara rasmi yang dibuat oleh rakyat dan/atau kerajaan-kerajaan negeri di Malaysia.

Lagi pula, tidak terdapat sebarang konflik ketenteraan atau gerakan militan di Malaysia seperti negara-negara lain di Asia Tenggara, seperti Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (PULO) di Thailand, OPM di Indonesia dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di Filipina.

Indeks Keamanan Global 2015 mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai tahap keamanan yang tinggi.

Malaysia ditempatkan di tangga 28 dari 162 negara-negara di dunia dari sudut keamanan dan kestabilan mengalahkan negara-negara yang lebih maju seperti UK, Perancis dan Itali.

Dengan keamanan, kesejahteraan dan kestabilan yang berpanjangan ini, mana mungkin Persekutuan Malaysia boleh berpecah?

Sememangnya, rakyat Malaysia secara amnya amat menyayangi negara ini dan tidak mempunyai niat atau kehendak apa pun untuk menuntut pemisahan mahupun kemerdekaan.

Kesimpulan

Seruan pemisahan untuk memecahbelahkan sebarang negeri-negeri dari Persekutuan Malaysia adalah suatu yang sangat membimbangkan kerana perkara ini bakal menjejaskan kestabilan dan kedaulatan negara ini.

malaysia

Perkara ini tidak seharusnya dibiarkan dan perlu dibendung sewajarnya.

Setelah 58 tahun bernegara, adalah mustahil bagi mana-mana negeri di dalam Malaysia untuk meninggalkan Persekutuan seperti yang ditunjukkan di dalam amalan undang-undang antarabangsa.

Semua rakyat Malaysia perlu berusaha dan bekerja keras untuk kesejahteraan negara.

Bagi memupuk perpaduan kebangsaan, rakyat Malaysia sepatutnya berhenti melabelkan diri masing-masing sebagai Bangsa Johor, Bangsa Perak, Bangsa Putrajaya atau Bangsa Kuala Lumpur sekalipun.

Ini tidak penting kerana kita semua adalah rakyat Malaysia.

Marilah kita kekal bersatu demi Malaysia.

Selagi rakyat menyayangi negara dan berdiri teguh bersamanya, kedaulatan Persekutuan Malaysia tidak akan luntur dan akan tetap terpelihara.


Mohd Hazmi Mohd Rusli (Ph. D) ialah seorang pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan profesor pelawat di Sekolah Undang-undang, Far Eastern Federal University, Vladivostok Rusia.

*Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
 

No comments:

Post a Comment