Monday, 12 October 2015

jamal-mahathir
PETALING JAYA: Enam tokoh yang mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dilabel sebagai ‘Enam Jahanam’.
Panggilan itu dibuat Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunus.
Selain negarawan Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau turut memanggil lima yang lain iaitu Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah, ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan juga bekas Presiden MCA, Tan Sri Ong Tee Keat, dengan gelaran yang sama.
Katanya, kenyataan bersama keenam-enam tokoh berkenaan yang meminta Najib meletak jawatan adalah langkah terdesak.
“Apabila geng enam jahanam ini tidak mampu, untuk menewaskan Datuk Seri Najib dan kepimpinan yang ada sekarang, mereka menyeru rakyat untuk menentang kerajaan dan Perdana Menteri,” katanya ketika dihubungi FMT.
Mengulas lanjut, Jamal turut menyifatkan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai individu yang tidak bermaruah apabila menyeru rakyat untuk terus melawan Perdana Menteri.
“Apabila dia berdepan dengan Perdana Menteri, terutamanya ketika mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi UMNO lepas, dia tidak suarakan seperti yang dinyatakan hari ini.
“Kalau benar dia bermaruah dan berprinsip, pertama beliau perlu melepaskan jawatan sebagai Timbalan Presiden parti terlebih dahulu,” katanya.
Ditanya sama ada, Majlis Tertinggi perlu memecat tokoh tersebut Jamal berkata, tindakan tersebut wajar dilakukan memandangkan mereka tidak lagi penting dalam UMNO malah menyusahkan parti.
“Enam jahanam ini seperti barang reject yang sudah tidak ada harga dan nilai, kalau tidak pecat sekalipun mereka ini sudah boleh ditalkin,” katanya.

No comments:

Post a Comment