Sunday, 20 September 2015

Sabtu, 19 September 2015

Bank Rakyat Bongkar Skandal Pinjaman RM32 Juta Rosmah 

Skandal Bank Rakyat RM32 juta yang mendapat perhatian ramai tahun lepas kini diceritakan dalam sebuah buku berjudul "Membongkar Skandal Deepak & Bank Rakyat" tulisan Shahbudin Husin, yang dilancarkan oleh pemimpin veteran Umno, Tan Sri Sanusi Junid. 

Buku yang dikarang penulis blog terkenal itu menampilkan wawancara dengan bekas pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Sabbaruddin Chik, yang juga bekas setiausaha agung Umno.

Dalam buku terbaharu Shahbudin ini, beberapa perkara dibongkar melibatkan peranan usahawan permaidani, Deepak Jaikishan dalam skandal Bank Rakyat.

Buku itu mendedahkan hubungan Deepak dengan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang dikaitkan dengan layanan istimewa diberikan kepada beliau dalam isu pinjaman Bank Rakyat.

Sanusi semasa berucap melancarkan buku itu di Petaling Jaya hari ini, berkata tidak pernah dalam sejarah Umno seorang bekas setiausaha agung dimalukan dan dihina seperti dilakukan terhadap Sabbaruddin.

"Belum pernah daripada 21 bekas setiausaha agung Umno dimalukan dan dihina seperti yang dilakukan ke atas Sabbaruddin," kata Sanusi, yang merupakan menteri semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kontrak Sabbaruddin sebagai pengerusi Bank Rakyat berakhir pada 8 April 2014 dan tidak disambung di atas arahan Datuk Seri Hasan Malek.

Hasan, yang juga menteri perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan, didakwa masuk campur isu penyambungan kontrak Sabbaruddin kerana tidak berpuas hati dengan bekas pengerusi Bank Rakyat tersebut.

Sabbaruddin berkata tujuan buku ini diterbitkan adalah bagi menegakkan keadilan bagi dirinya.

"Saya rasa ini tidak adil kepada saya dan mereka yang terlibat. Beliau (Hasan) menyalahguna kuasa," katanya.

Buku itu mengandungi 26 bab dan diterbitkan Special One Publication.

Antara artikel yang dimuatkan adalah kenyataan Sanusi dan juga Tengku Razaleigh Hamzah yang lantang membangkitkan skandal tersebut.

Turut hadir pada majlis hari ini bagi menyatakan sokongan adalah bekas ketua pengarang The New Straits Times (NST), Datuk A. Kadir Jasin dan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali.

Deepak sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi sebelum pilihan raya umum ke-13 (PRU13) pada 2013.

Beliau pernah menyaman Putrajaya kerana melanggar perjanjian tanah di Bukit Raja, Selangor, dan ditarik balik pada hari yang sama.

Kemudiannya, syarikat milik tabung kerajaan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead Holdings Bhd mengumumkan pada 2012 membeli 80% saham syarikat individu tersebut, Astacanggih Sdn Bhd dan sebidang tanah bernilai RM130 juta milik Awan Megah Sdn Bhd, syarikat ketua wanita Umno Selangor, Senator Datuk Raja Ropiaah Abdullah.

Penerbitan buku ini dijangka menambah tekanan ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang sudah berdepan pelbagai skandal, antaranya isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pendedahan New York Times mengenai harta pusaka.

Kedudukan Najib juga tidak berada dalam keadaan baik pada ketika bekas perdana menteri, Dr Mahathir juga lantang mengkritik pentadbirannya.sumber

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.

No comments:

Post a Comment