KUALA PILAH - “Ini kali pertama saya ditipu dan duit RM390 lesap begitu sahaja dilarikan dua lelaki menyamar ejen syarikat telekomunikasi,” kata seorang peniaga kedai runcit, Zamri Ibrahim, 65, di Kampung Gachong, di sini.

Menurutnya, selama 10 tahun membuka kedai runcit, belum pernah berlaku kes penipuan di sini.

Zamri berkata, pada 25 Ogos lalu, dia didatangi dua lelaki jam 2 petang di kedai runcitnya.

“Waktu itu, saya sedang makan tengah hari di dalam kedai. Tiba-tiba, datang sebuah kereta jenis Proton berhenti betul-betul depan kedai saya.

“Seorang daripada mereka memperkenalkan diri dengan nama Shah sebagai ejen syarikat telekomunikasi dan berhasrat memilih kedai runcit saya untuk menjadi ejen menjual kad prabayar,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelasnya, dia yang tidak mengesyaki sebarang perkara mencurigakan, yakin bahawa lelaki berkenaan adalah ejen sah.

Tambahnya, lelaki berkenaan memintanya mengisi beberapa dokumen berkaitan pembelian kad pra bayar.

“Perwatakan dan tutur kata lelaki itu (ejen) juga sangat mesra dan meyakinkan,” katanya.

Zamri berkata, pada mulanya, lelaki berkenaan memintanya membayar RM790 namun disebabkan wang tidak mencukupi, dia membayar RM390 sahaja.

Menurutnya, lelaki itu juga ada mengeluarkan resit tertulis nombor pendaftaran.

“Dia berjanji akan datang semula keesokan harinya, kemudian pergi bersama rakannya yang menunggu dalam kereta,” katanya.

Zamri berkata, lelaki itu juga berjanji akan membawa papan tanda telekomunikasi untuk dipasang di hadapan kedai runcitnya.

“Mereka kata akan datang ke sini semula pada 27 Ogos kerana pejabatnya di Kuala Lumpur. Namun, sehingga kini tiada khabar berita.

“Sudah beberapa kali hubungi pun tak berjawab. Akhirnya saya sedar, saya telah ditipu,” katanya.

Jelasnya, jika diikutkan dia bukan mudah ditipu tetapi tidak pasti bagaimana lelaki berkenaan boleh memperdayakannya.

Atas rasa tanggungjawab, Zamri telah membuat laporan berhubung kejadian yang meninpanya di Balai Polis Melang pada 27 Ogos jam 8.35 malam.

“Saya buat laporan polis supaya pihak berkuasa dapat tahu dan siasat kes penipuan ini dan berharap orang ramai juga berhati-hati.

“Jangan mudah terpedaya dengan individu tidak dikenali yang menyamar sebagai ejen syarikat telekomunikasi. Ia helah untuk menipu duit kita dengan cara mudah,” katanya.