SHAH ALAM - Krisis yang melanda syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah menggugat demokrasi berparlimen di negara ini, dakwa Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memegang kuasa Eksekutif bertanggungjawab untuk menyelesaikan krisis itu.
Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, keadaan semakin celaru apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai badan bebas boleh mengeluarkan kenyataan yang mana melanggar akta yang dibentuknya sendiri.
“Dalam Akta SPRM sendiri menyebut wang derma termasuk dalam maksud ‘suapan’ yang boleh membawa kepada pendakwaan di atas kesalahan jenayah rasuah jika disabitkan, individu itu boleh dikenakan hukuman sehingga penjara 20 tahun.
“Keadaan ini jelas sekali menunjukkan SPRM dihalang untuk menjalanlankan tugas mereka dengan baik, keadaan ini mengganggu gugat demokrasi berparlimen yang diamalkan selama ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Nurul Izzah mendakwa bukan sahaja SPRM dalam dilema tetapi Bank Negara juga telah gagal mengesan aliran wang sebanyak RM2.6 bilion ke akaun peribadi milik perdana menteri.
Tambah beliau, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) juga tidak dapat meneruskan prosiding terhadap syarikat itu apabila Pengerusi dan beberapa ahlinya sudah diangkat sebagai ahli Kabinet yang baharu.
Beliau berkata, isu 1MDB menjadi isu besar negara dan rakyat mahukan jawapan segera daripada kerajaan.
No comments:
Post a Comment