BAGAN DATOH - Pelantikan pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed dan tiga anggota lain jawatankuasa berkenaan ke dalam Kabinet baharu yang diumum pada 28 Julai lepas tidak mempunyai agenda tersembunyi.
  
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mereka dilantik kerana mereka layak.
  
"Pertimbangan yang dibuat oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) jika seseorang itu di manapun kedudukannya, sama ada di PAC atau lain-lain badan termasuk GLC (syarikat berkaitan kerajaan), jika layak untuk diletakkan di dalam barisan Kabinet atau anggota pentadbiran maka jangan dilihat bahawa ia ada agenda tersembunyi untuk menafikan hak dan kelayakan mereka untuk diberi tempat yang ada sekarang," katanya.
  
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar ketika menghadiri Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Bagan Datoh di sini hari ini.
  
Katanya, penganalisis politik menganggap langkah ini bukan sebagai kebetulan tetapi kononnya perancangan yang rapi untuk mengeluarkan keempat-empat anggota PAC terbabit daripada jawatankuasa berkenaan berikutan peranan mereka menyiasat isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ahmad Zahid berkata anggapan itu timbul memandangkan PAC belum dapat bersidang susulan rombakan Kabinet baru-baru ini.
  
Nur Jazlan dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri; Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sebagai Timbalan Menteri Luar; Datuk Mas Ermieyanti Samsudin sebagai Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan serta Datuk Wilfred Madius Tangau sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dalam rombakan Kabinet baru-baru ini.
  
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata institusi PAC harus dihormati oleh anggotanya dari semua parti politik.
  
"Saya bersetuju dengan pendirian Speaker Dewan Rakyat yang mengatakan PAC tidak boleh bersidang tanpa pengerusi. Oleh yang demikian, tunggu keputusan oleh pihak Speaker supaya seorang ahli parlimen dilantik sebagai Pengerusi PAC dan tiga tempat bagi ahli-ahli PAC yang tidak lagi berada sebagai anggota PAC untuk dipilih bagi menggantikan jawatankuasa PAC yang sedia ada.
  
"Saya fikir kita tidak perlu terburu-buru untuk mengadakan mesyuarat seolah-olah ada agenda tersembunyi yang dibuat oleh mereka yang mendesak speaker untuk PAC melakukan tindakan segera," katanya.

Beliau berkata, semua pihak perlu memberi keyakinan kepada Speaker Dewan Rakyat bagi membolehkannya berunding dengan ketua kerajaan iaitu Perdana Menteri dan Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional bagi menentukan siapa pengerusi PAC dan anggotanya yang baharu.
  
"Ini kerana kita tidak mahu mempengaruhi sebarang siasatan dan juga keputusan yang dibuat oleh PAC.
  
"Saya fikir keterbukaan PAC harus dipertahankan supaya persepsi negatif terhadap apa yang dilakukan oleh PAC dapat diberikan peluang untuk terus diberikan dokongan oleh ahli-ahli parti politik dan rakyat majoriti secara keseluruhannya," katanya. - Bernama