TIDAK ketinggalan berkongsi nostalgia Syawalnya, akui Hisyam dia masih ingat ketika beraya bersama datuk dan neneknya sewaktu masih kanak-kanak.
"Ia kenangan yang sukar dilupakan, dahulu saya dibesarkan oleh mereka.
"Masa kecil memanglah nakal dan bila mereka buat kuih menggunakan arang, saya akan ambil arang tu untuk dijadikan bahan membakar.
"Bayangkan, ada sekali tu terbakar tempat jemur kain gara-gara perbuatan saya. Akibatnya, teruklah saya dimarahi mereka," katanya rindu mengenangkan momen tersebut lebih-lebih lagi datuknya sudah pun meninggal tahun lalu.
Tidak lengkap rasanya hari raya jika tidak bercerita mengenai makanan atau kuih kegemaran masing-masing. Begitu juga bagi Hisyam.
Menurutnya, kuih tart resipi neneknya adalah kegemarannya dan sejak kecil dia yang menjadi 'tukang rasa' apabila kuih tart tersebut dibuat.
"Saya memang suka sangat dengan kuih tart. Lebih-lebih lagi kuih tart yang dibuat nenek, apa yang istimewa, kuih tart tersebut akan mencair bila dimasukkan ke mulut," kata bapa kepada dua anak ini.
Ujarnya, oleh kerana neneknya kini kurang sihat, dia akan ke rumah emak saudaranya dan meminta membuat makanan atau kuih yang sama.
"Memang masakan mak long lebih kurang dengan nenek sahaja, jadi kalau teringin nak makan masakan nenek, saya akan minta daripadanya," katanya.
Ditanya apakah dia turut mengadakan majlis rumah terbuka untuk peminat, akui Hisyam, dia belum memikirkannya lagi.
"Buat masa ni memang tiada dalam perancangan. Sebelum ni pun saya hanya buat perjumpaan secara kecil-kecilan bersama kelab peminat," katanya.


Jadi Optimus Prime
Tidak hanya tertumpu kepada cerita Syawalnya, lebih menarik, tahun ini Hisyam telah ditawarkan menjadi Optimus Prime menerusi alih suara filem Transformers: Age of Extinction.
Teruja dengan tawaran itu, dia banyak menggunakan pengalaman bersama anak-anak untuk menjayakan alih suara tersebut.
"Secara peribadi saya suka main menjadi karakter kartun dengan mereka, antaranya menjadi Optimus Prime sendiri.
"Jadi bila mereka tawarkan watak tersebut, saya cuba apa yang telah dilakukan di rumah apabila proses alih suara dilakukan," katanya.
Pun begitu, Hisyam berkata, cabaran melakukan alih suara tersebut masih ada apabila dia perlu kekalkan suara yang sama sepanjang masa.
"Bayangkan ada satu ketika saya perlu ambil masa lapan jam untuk habiskan satu sesi alih suara, bila dah masuk ke pertengahan, suara saya sudah mula pecah.
"Memang sukar nak kekalkan momentum tersebut," katanya yang pernah membawakan alih suara menerusi filem animasi Despicable Me 2 sebelum ini.
Selain itu, kata Hisyam, jika ditawarkan melakukan alih suara lain, dia pasti melakukannya lagi.
"Sebenarnya saya sangat gembira terlibat dengan alih suara ini kerana ia memberikan pengalaman berbeza bagi anak seni seperti saya," katanya.
Selain Hisyam, antara selebriti lain yang terlibat dalam projek itu, Fahrin Ahmad, Faizal Ismail, Ahmad Nabil, Sharnaaz Ahmad, Ayda Jebat, Akim Ahmad, Hazama, Syazwan Zulkifli, Scha Alyahya, Elizabeth Tan, Fakhrul Razi dan Syafiq Kyle.