Sarawak Report: RM2 juta dideposit ke akaun ‘Rosmah Binti Mansor’
Sarawak Report mendakwa Datin Seri Rosmah Mansor menerima RM2 juta dalam akaunnya di Affin Bank. – Gambar Malaysiakini
Blog pembocor rahsia Sarawak Report hari ini mendakwa isteri perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menerima deposit dengan jumlah keseluruhan RM2 juta, di antara 10 Februari dan 23 April tahun ini.
Menurut Sarawak Report, jumlah itu didakwa didepositkan seorang “pembantu peribadi” Datin Seri Rosmah Mansor bernama Roslan Sohari menerusi 8 transaksi ke dalam akaun Affin Bank milik “Rosmah Binti Mansor (Datin Sri)” di cawangan Bangunan Getah Asli Kuala Lumpur.
“Sarawak Report mempunyai salinan urus niaga ini dan dimaklumkan Roslan hadir di bank itu dengan wang tunai dalam sebuah beg.
“Menurut rekod, deposit-deposit ke dalam akaun itu dibuat ‘pembantu peribadi’ pemilik akaun,” dipetik laporan Sarawak Report.
Dalam laporannya, Sarawak Report mendakwa 8 deposit itu setiap satunya berjumlah di antara RM150,000 sehingga RM300,000.
Bagaimanapun, ia mendakwa deposit dalam jumlah yang besar sebegitu biasanya perlu dilaporkan ke Bank Negara Malaysia tetapi tidak dilaporkan kerana salah seorang ahli lembaga pengarah bank itu merupakan pengerusi firma sarat hutang, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Sarawak Report boleh mengesahkan akaun bank ini diletakkan di bawah siasatan, kerana ia berkait dengan kemungkinan wang yang digelapkan berkait dengan 1MDB,” laporan itu dipetik.
Dakwaan ini timbul tepat seminggu selepas The Wall Street Journal mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerima wang RM2.3 bilion bersumber asal daripada dana sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke dalam akaun peribadinya.
Terkini, peguam negara baru saja mengesahkan 2 akaun Najib yang disebut dalam dakwaan itu sudah ditutup sebelum dakwaan itu dibuat pada 2 Julai lalu.
Kenyataan ini mengesahkan laporan WSJ yang menyebut perkara sama tentang status akaun Najib. – The Malaysian Insider
Laporan Malaysiakini:
Dihubungi Malaysiakini, pembantu Rosmah, Rizal Mansor, berkata beliau tidak dapat mengulas perkara itu pada masa laporan ini ditulis kerana sedang berada dalam sebuah majlis berbuka puasa.
Malaysiakini juga telah menyemak sebuah laman Facebook milik “Roslan Sohari”, seorang pegawai tentera berpangkat pegawai waran, yang antara lain menunjukkan gambar individu itu dengan Najib selain kelihatan berada dalam jet peribadi.
Dalam Facebook itu, pekerjaannya diletakkan sebagai “Resident Manager at the Prime Minister’s Office” (pengurus residen di Pejabat Perdana Menteri).
Rekod di Facebook itu juga mendedahkan bahawa individu itu ‘mendaftar masuk’ di pelbagai lokasi di luar negara ketika Najib berada di tempat itu.
Tempat-tempat itu antaranya Kazakhstan (tahun lepas), Jeddah (6 Jun 2015), Beijing (12 November, 2014 ketika perdana menteri hadir Persidangan Ekonomi Asia Pasifik) dan New York (ketika Najib hadir persidangan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu September lalu).
Beliau juga berada di Padang, Indonesia, pada 26 Ogos tahun lepas, ketika Rosmah menerima sebuah anugerah Minangkabau.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada individu ini orang yang sama dimaksudkan oleh Sarawak Report.
Ketika Malaysiakini menghubungi “Roslan Sohari” melalui nombor telefon yang ditunjukkan dalam sebuah dokumen dimuat naik oleh Sarawak Report, dia menafikan berkhidmat dengan Jabatan Perdana Menteri atau mempunyai kaitan dengan Rosmah.
Bagaimanapun, gambarnya di profil Whatsapp menunjukkan gambar yang sama dengan pemilik akaun dengan di Facebook.
Malaysiakini juga memeriksa nombor kad pengenalan Rosmah yang dinyatakan di dokumen itu dan mendapati ia sememangnya isteri Najib.
Nombor akaun Affin Bank yang 1000 xxxx xxxx yang dinyatakan itu juga mendapati ia milik “Rosmah Binti Mansor”. – Malaysiakini
Disclaimer & Privacy Policy: Malaysian Review is only a ‘News Aggregation Sites’ – More info: ★ Malaysian Review Blogezine ★ MRM
Terimakasih atas ihsan pembekal bahan & kredit kembali ke weblog asal.
Plunked your butt down in a chair, rifled out some thoughts on your trusty keyboard ★ Now you know don’t say thank
User Online
User Online