1

Pemuda PKR (AMK) tampil berkongsi kesedihan dengan 6,000 pekerja Malaysia Airlines (MAS) yang akan diberhentikan susulan penstrukturan semula syarikat itu.

Ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata rakyat Malaysia berdiri teguh bersama mereka dan menyalahkan urus tadbir yang “tidak bertanggungjawab” yang menyebabkan kerugiannya.

“Kami berharap dan mendoakan agar mereka dan keluarga mereka tidak akan menghadapi kesusahan yang berterusan, dan akan dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik dan sempurna,” katanya.

Dalam kenyataannya hari ini, Nik Nazmi juga berkata pekerja tidak harus menjadi mangsa susulan kerugian syarikat.

“Selama beberapa tahun ini Malaysia Airlines telah menandatangani kontrak-kontrak yang berat sebelah, memihak kepada syarikat-syarikat dan rakan-rakan kroni, yang menyebabkan kenaikan berlipat ganda harga barangan dan servis yang dibekalkan.

“Syarikat ini telah diusahakan demi menguntungkan beberapa pihak yang berkepentingan politik dan bukannya sebagai syarikat komersial seperti yang sepatutnya,” katanya.

MAS dilaporkan akan mengeluarkan surat penamatan tugas atau penggajian semula kepada antara 6,000 hingga 8,000 orang daripada 20,000 orang yang diberhentikan.

Ia sebahagian langkah untuk memulihkan MAS dengan menjadikannya sebagai syarikat penerbangan serantau yang lebih kecil.

Penggajian semula akan menawarkan kekosongan kepada hanya 6,000 hingga 8,000 orang, dengan syarat-syarat baru.

Laporan sebelum ini menyebut, sejumlah 6,000 kakitangan akan ditamatkan perkhidmatan.