BUKIT MERTAJAM - Seorang peniaga maut selepas kereta yang dipandunya merempuh sebuah treler dalam kejadian kemalangan di Jalan Megat Harun, di sini awal pagi ini.

Gooi Chin Hwang, 38, yang memandu sendirian dipercayai mabuk dan memandu laju sebelum terlibat dalam kemalangan kira-kira 1.40 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor berkata dalam kejadian itu, mangsa yang memandu kereta jenis Totoya Vios melanggar bahagian kanan treler berkenaan sebelum lelaki itu tersepit dan mengalami kecederaan parah.

"Kemalangan itu berlaku apabila treler yang dipandu seorang lelaki, baru keluar dari depot simpanan lori sebelum dirempuh dari arah sebelah kanan oleh kereta mangsa.

"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian badan serta kepala," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Rusli berkata pemandu treler berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya mayat mangsa dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat. - Bernama