LABUAN - Pengusaha perniagaan, terutamanya restoran mengenakan harga minuman dan makanan yang mahal ekoran kadar sewa lot kedai yang semakin meningkat dan tidak terkawal.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Labuan, Datuk Yussof Mohamad berkata, persekitaran perniagaan seperti ini tidak boleh diteruskan kerana memberi kesan kepada pengguna.

"Kami tidak ada undang-undang untuk mengawal sewaan yang dikenakan oleh pemilik kedai dan tuan tanah.

"Mereka mempunyai kuasa untuk menentukan nilai pasaran," katanya hari ini. Beliau berkata, anggota dewan perlu bekerjasama dan berbincang untuk mencari penyelesaian terhadap isu itu.

Seorang pemilik restoran, Mary Lee Yun Foh berkata, harga makanan dan minuman menjadi mahal disebabkan sewa semakin tinggi yang terpaksa ditanggungnya.

"Kami menerima aduan tetapi kami tidak ada pilihan kecuali terpaksa menaikkan harga disebabkan sewa yang tinggi," katanya.- Bernama