KISAH IBN UMAR DENGAN PENGEMBALA
Suatu ketika, tatkala Saidina Ibn Umar r.a. berada dalam suatu perjalanan, beliau tersempak dengan seorang pengembala kambing. Terdetik di hati Ibn Umar untuk menguji ketakwaan pengembala tersebut.
Lalu ibn Umar berkata : "Wahai saudara, apa kata sekiranya kamu menjualkan kepadaku seekor kambing dari kambing-kambingmu yang banyak ini?" Pengembala kambing itu tidak rela untuk menjual walau seekor pun memandangkan bahawa beliau hanya penjaga kambing dan bukan pemiliknya.
Ibn Umar lalu berkata: "Kamu jual sahaja kepadaku satu kambing itu, bukannya tuan kamu itu tahu yang kamu telah jual kambing tersebut; katakan saja kepadanya kambing itu telah dimakan oleh serigala".
Pengembala itu berkata: "Sekiranya aku berkata demikian kepada majikanku, apakah yang akan aku katakan esok kepada Allah?"
Subhanallah, saudara, betapa mendalamnya ketakwaan pengembala ini. Ia terbit daripada kesedarannya bahawa cukuplah Allah sebagai pemelihara kesejahteraannya. Inilah antara mutiara yang boleh kita petik daripada satu lagi sifat-sifat Allah s.w.t. yang terpuji, iaitu sifat Al-Muhaimin, yang bererti hanya Allah Yang Maha Memelihara dan menjaga seluruh makhluknya baik dari segi keselamatannya, keamanan, dan kesejahteraannya.
Persoalan yang diajukan pengembala kambing dalam kisah tadi perlu kita hayati dan amati. Kadangkala kita mendapati sebahagian hamba Allah hilang pertimbangan agamanya, sehingga rela memakan dari sumber yang haram seperti mengambil hak warisnya dari faraid.
Ada yang tidak menghiraukan kepentingan ibadah-ibadahnya seperti solat.
Ada yang mengabaikan tanggungjawab keluarganya, hak anak isteri dan keluarga.
Saudara, apakah yang akan kita jawab esok di hadapan Allah? Tatkala kedua kaki ini berdiri di padang Mahsyar, dan kita sedang diadili oleh Allah s.w.t?
No comments:
Post a Comment