Tuesday, 30 June 2015

CINTAKAN DUNIA, TAKUT MATI

Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :

"Hampir tiba suata masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka".

Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah kerana kami sedikit pada hari itu?"

Nabi s.a.w. menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di permukaan air dan Allah s.w.t. akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah s.w.t. akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan".

Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu wahai Rasulullah?"

Nabi Muhammad s.a.w.  menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati".  (Hadis Riwayat Abu Daud)

Keterangannya :

Memang benar apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. Keadaan umat Islam pada hari ini, menggambarkan kebenaran apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. Umat Islam walaupun mereka mempunyai bilangan yang banyak, iaitu 1,000 juta (1/5 penduduk dunia), tetapi mereka selalu dipersendakan dan menjadi alat permainan bangsa-bangsa lain. Mereka ditindas, diinjak-injak, disakiti, dibunuh dan sebagainya. Bangsa-bangsa dari seluruh dunia walau pun berbeza-beza agama, mereka bersatu untuk melawan dan melumpuhkan kekuatannya.

Sebenarnya, segala kekalahan kaum Muslimin adalah berpunca dari dalam diri kaum muslimin itu sendiri, iaitu dari penyakit 'wahan' yang merupakan penyakit campuran dari dua unsur yang selalu wujud dalam bentuk kembar dua, iaitu “cinta dunia” dan 'takut mati". Kedua-dua penyakit ini tidak dapat dipisahkan.

"Cinta dunia" bermakna tamak, rakus, bakhil dan tidak mahu mendermakan harta di jalan Allah s.w.t. Seseorang yang cintakan dunia pastinya mereka lupa akan akhirat kerana mudah terleka dengan duniawi. Penyakit wahan timbul karena merasuknya cinta kepada dunia ke dalam hati manusia, seperti cinta berlebihan kepada hartabenda, pangkat, wanita, dan lainnya.

Manakala “takut mati" pula bermakna leka dengan kehidupan dunia dan tidak membuat persiapan untuk menghadapi negeri akhirat dan tidak ada perasaan untuk berkorban dengan diri dan jiwa dalam memperjuangkan agama Allah s.w.t. Dari kecintaan dunia yang sangat berlebihan nantinya akan melahirkan mental pengecut yang takut mati.

Kita berdoa agar Allah s.w.t. menurunkan rahmat-Nya kepada kaum Muslimin dan memberikan kepada mereka kejayaan di dunia dan di akhirat. Insya Allah.

No comments:

Post a Comment