Friday, 26 June 2015

BUSAN - KOREA SELATAN . Seorang lelaki menyamar menjadi teman wanitanya lebih dari dua minggu selepas membunuh gadis tersebut, lapor portal Metro.co.uk, semalam.

Menurut laporan, lelaki itu membunuh teman wanitanya selepas gadis itu meminta untuk mengakhiri perhubungan pasangan terbabit.

Lee, 24 mengaku membunuh Sunny Kim, 26, selepas dua minggu gadis tersebut dilaporkan hilang.
Sejak Kim dilaporkan hilang, Lee dikatakan menyamar sebagai Kim dan membalas setiap pesanan yang dihantar menerusi telefon bimbit mangsa.

Kakak mangsa yang tidak mahu dinamakan berkata, Lee mungkin meneliti perbualan terdahulu antara dia dan adiknya.

 “Cara dia membalas mesej saya (dengan menggunakan telefon bimbit mangsa) sama seperti cara Kim membalas mesej saya.

 “Mungkin dia sudah ‘selongkar’ mesej perbualan kami dan meniru cara Kim membalas teks pesanan ringkas,” katanya seperti yang dipetik menerusi laporan portal tersebut.

Kakaknya turut menyifatkan ia sebagai sesuatu yang mengejutkan.

Pada hari Kim dibunuh, Lee juga dikatakan menyamar sebagai Kim untuk menolak tawaran kerja yang ditawarkan kepada Kim.

“Dia (Lee) memberitahu syarikat terbabit bahawa Kim tidak akan menerima tawaran pekerjaan itu kerana Kim bakal pulang ke Amerika Syarikat untuk melanjutkan pelajaran,” katanya lagi.

Lee menyerah diri ke balai polis dengan pergelangan tangan yang berdarah akibat dihiris. Dia turut membuat pengakuan bahawa dia telah membunuh teman wanitanya.

Dua hari kemudian, mayat Kim ditemui pihak berkuasa ditanam di dalam sebuah lubang sebelum disimen.

Mayat tersebut dilaporkan ditemui di bukit yang terletak berhampiran dengan kediaman Kim.

 Sebelum ini, Lee dikatakan pernah memukul dan mengasari Kim.

No comments:

Post a Comment