Friday, 19 June 2015

AMALAN BERMAAFAN

Terdapat banyak kisah  dalam riwayat hidup Nabi s.a.w. di mana  tatkala baginda dikecam dan diancam, baginda tidak membalas  kembali kejahatan tersebut, malah baginda mengampunkan orang-orang yang menzaliminya. Subhanallah! Betapa mulianya peribadi Rasulullah s.a.w.

Diriwayatkan oleh Ibn Hisham bahawa seorang bernama Fudhaalah ibn Umair telah berusaha untuk membunuh Baginda s.a.w. ketika nabi s.a.w. menawan kota Mekkah. Maka Fudhaalah berusaha untuk mendekati Nabi s.a.w. yang sedang melaksanakan tawaf di Ka’bah. Setiap kali Fudhaalah mendekati Rasul, Rasulullah s.a.w. akan berpaling ke arah Fudhaalah sambil tersenyum, lalu Nabi berkata: “Apa yang engkau simpan di hatimu wahai Fudhaalah?” Fudhaalah menjawab: “Aku ini hanya berzikir kepada Allah”. Maka Rasulullah s.a.w. meletakan tangan  baginda di dada Fudhaalah sambil mengusapnya. Maka Fudhaalah berkata: “Demi Allah di saat Rasulullah meletakkan tangannya di atas dadaku, tidak ada manusia yang paling aku benci di atas muka bumi ini melebihi dirinya. Namun setelah tangannya diangkat dari dadaku, tidak ada manusia yang paling aku cintai di atas muka bumi ini melebihi dirinya."

Tidakkah kita mahu mencontohi sifat Baginda yang mulia ini?  Lalu kita memaafkan kesilapan orang lain terhadap diri kita. Mengapa perlu berdendam, bermusuhan antara keluarga dan teman, sehingga bertahun lamanya tidak bertegur sapa?

Memang tidak mudah untuk memaafkan seseorang, lebih-lebih lagi apabila kita telah disakiti atau dizalimi. Namun Allah s.w.t. mengajar kita bahawa, memaafkan  adalah diutamakan dan amat digalakkan dan Allah menjanjikan  ganjaran yang besar di sebaliknya. Allah berfirman dalam surah As-Syura ayat 40:

Yang bermaksud: “Dan (jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya; dalam pada itu sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim”.

Dengan memaafkan orang lain tidak bermakna kita lemah, malah ia membentuk dan meningkatkan lagi sifat sabar dalam diri kita. Dengan  bersabar, kita dapat menundukkan sikap ego dalam diri kita, membentuk jiwa yang lebih lembut, dan bersih  lagi suci.


No comments:

Post a Comment