Tuesday 23 June 2015

AL MUHAIMIN
Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Hasyr ayat 23:
”Dia-lah Allah Yang tiada Tuhan selain Dia, Raja, Yang Maha Suci, Yang Maha Sejahtera, Yang Mengaruniakan keamanan, Yang Maha Memelihara, Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuasa, Yang Memiliki segala keagungan, Maha Suci Allah dari segala yang mereka persekutukan”.

Ayat ini menjelaskan bahawa Allah s.w.t. antara lain bersifat Al-Muhaimin, yakni yang sentiasa menjaga dan memerhatikan makhluk-makhlukNya, memerhatikan segala urusan sehariannya termasuk rezeki, saat kehidupan dan kematian mereka. Allah menjaga dan memerhatikan setiap seorang diantara kita hari ini bahkan pergerakkan segala yang hidup maupun yang tidak bernyawa dimuka bumi ini, semua berada di bawah penjagaan dan pemerhatian Allah, Al-Muhaimin.

Oleh itu kita perlu kembali sedar selalu, segala yang kita lafazkan mahupun sembunyikan. Sama ada perasaan  dipendam atau masalah yang kita hadapi serta rintihan hati; kesemuanya diketahui Allah s.w.t. Allah selalu ingin dekat kepada kita kerana Dia yang menjaga kita. Dia yang memastikan keperluan kita ini dicukupkan. Antara tanda Allah ini adalah Maha Memelihara adalah bagaimana segala yang hidup di dalam dunia ini bertujuan untuk membantu manusia menjalankan kehidupannya. Lihat sahaja bagaimana setiap daripada matahari, udara, air, tumbuh-tumbuhan semuanya berfungsi agar kita dapat sumber makanan, minuman, pernafasan serta sumber material lain yang diperlukan untuk binaan dan bermacam lagi.

Firman Allah s.w.t. dalam surah Luqman ayat 20:
Yang bermaksud: “Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi dan telah melimpahkan kepada kami nikmat-nikmatNya yang zahir dan yang batin? Dalam pada itu, ada di antara manusia orang yang membantah Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan atau sebarang petunjuk dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah yang menerangi kebenaran”.

Penghayatan nama Al-Muhaimin ini juga bertujuan untuk menerbitkan di dalam hati kita perasaan kebergantungan dan pengharapan kepada Allah. Hayatilah sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Jika kamu meminta, maka mintalah kepada Allah, dan jika kamu meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan kepada Allah.” [Hadith riwayat Imam At-Tirmidzi]

Mohonlah pemeliharaan dan penjagaan Allah s.w.t. selalu. Ingatlah bahawa Allah selalu menantikan permintaan kita dan lebih sudi memperkenankannya. Hadapkanlah diri kepada Al-Muhaimin kerana Dialah yang Maha menjaga kebaikan kita.

No comments:

Post a Comment