TEMERLOH - Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD)  akan mengambil tindakan tegas dan tidak akan berkompromi dengan pemilik dan pemandu kenderaan yang didapati melanggar peraturan jalan raya termasuk membawa muatan berlebihan.
 
Pengerusinya Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, langkah berkenaan perlu diambil berikutan terdapat kenderaan yang membawa muatan berlebihan sehingga menjadi punca kemalangan yang membawa kematian kepada pengguna jalan raya yang lain.
 
"Jika kita ambil tindakan jangan berasa marah atau jumpa mana-mana pihak dan tulis surat untuk mendapat pelepasan kerana kita tidak akan bertolak ansur kepada mereka berkenaan.
 
"Macam kes kelmarin, (kemalangan maut melibatkan anggota polis terlanggar gelung besi) ia amat menyedihkan dan berlaku kerana ada orang yang hendak mengaut untung dengan membawa lebih muatan serta tidak mengikut peraturan," katanya.
 
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan mangsa banjir besar tahun lepas termasuk kepada golongan pemandu teksi.
 
Dalam kejadian di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) itu, seorang anggota polis menemui maut manakala seorang lagi cedera parah apabila kereta mereka terlanggar gelung besi yang terjatuh di atas jalan raya.
 
Gelung besi itu terjatuh dari treler yang membawa 12 gelung besi seberat dua tan setiap satu.
 
Syed Hamid berkata SPAD memandang serius kes tersebut yang melibatkan kecuaian dan tidak mematuhi peraturan. - Bernama