Misteri Gamatisme bermula
Apabila dikejar dosa, dunianya menjadi kacau. Bayangan seorang wanita misteri pula sering mengganggu setiap kali tidur. Kejadian ini sering menghantui Haris, Daniel, Reen dan Jojo hingga membuatkan mereka tertekan.
Kisah menarik inilah yang menjadi intipati filem ketiga terbitan Pencil Pictures, arahan M Hitler Zami yang akan menemui penonton pada 28 Mei depan.
Filem psiko seram berjudul Gamatisme ini dibarisi pelakon seperti Nabila Huda, Syazwan Zulkifli, Ellyas Abdullah, Adelene Tsen dan Bubu 1News.
Penggambaran dilakukan sekitar Mei tahun lalu di Bukit Jelutong, Kuang, Sungai Buloh dan Puncak Alam, Selangor selama 18 hari dengan kos keseluruhan sebanyak RM1.3 juta.
M Hitler yang sudah berkecimpung selama 19 tahun dalam bidang pengarahan memberikan sentuhan terbaiknya menerusi filem ini.
“Lokasi filem ini dipilih kerana saya nak menampilkan lebih perasaan seram secara visual kepada penonton. Selain itu, ia juga bersesuaian dengan jalan ceritanya yang mengandungi unsur suspen dan dramatik.
“Gamatisme juga memperlihatkan babak aksi mencemaskan yang dilakukan pelakon aksi lasak berpengalaman. Selain itu kesan solekan khas dan penggunaan teknik Imej Janaan Komputer (CGI) bakal memberikan kepuasan kepada penonton yang meminati filem genre psiko seram,” katanya yang berterima kasih dengan Ella Sandera yang memberikan sentuhan terbaik dari aspek solekan kesan khas.
Dia juga beruntung kerana barisan pelakon yang ditampilkan berpengalaman, sekali gus memudahkan kerja pengarahan filem ini.
“Tak susah untuk saya memberi tunjuk ajar dan membentuk semua mereka kerana masing-masing dah tahu karakter yang perlu dibawakan. Mereka juga buat kerja rumah sendiri dan apabila berada di lokasi terus memberikan lakonan terbaik,” katanya.
Ada mesej tersirat
Penerbitnya, Datuk Normashayu Puteh mengakui Gamatisme adalah percubaan berani Pencil Pictures dalam menghasilkan karya yang memberi kelainan dan membawa idea segar kepada penonton.
“Dengan kerjasama pasukan produksi dan pelakon handalan, Gamatisme bakal memberikan sesuatu yang berbeza dan dapat memeriahkan industri perfileman tempatan dan seterusnya mampu menarik semua golongan masyarakat dengan meraih kutipan yang memberangsangkan.
“Pencil Pictures sering menerbitkan karya yang mempunyai mesej yang berat kepada semua lapisan masyarakat. Gamatisme bukanlah semata-mata filem bergenre psiko dan seram, tetapi ada mesej yang tersirat,” katanya.
Selain Gamatisme, Pencil Pictures turut menerbitkan filem Bopeng dan Kak Yong yang bergenre aksi komedi arahan Helmi Yusuf yang akan menemui penonton tahun ini.
Sinopsis
Gamatisme yang bergenre psiko seram mengisahkan kejadian yang berlaku di sekitar sebuah kolej swasta.
Ia membabitkan empat sahabat iaitu Haris (Syazwan Zulkifli), Daniel (Wan Elias), Reen (Adelene Tsen) dan Jojo (Bubu 1News) yang sering mendapat gangguan misteri di asrama mereka sejak kehadiran pelajar baru bernama Zara (Nabila Huda).
Misteri turut menyelubungi Zara apabila dia kerap dihantui mimpi aneh dan sering diganggu seorang wanita mengandung bersama bayinya.
Ini menjadikan semakin lama Zara berada dalam kemurungan. Haris yang menyimpan perasaan terhadap Zara cuba mendekatinya dan cuba menyelami perasaan Zara.
Reen yang juga rakan sebilik Zara turut mendekatinya disebabkan rungsing dengan kemurungan Zara. Mereka berempat juga beranggapan bahawa kemunculan wanita misteri di dalam mimpi Zara itu berkaitan dengan gangguan yang dialami mereka.
Sehinggalah suatu malam Jojo mati dalam keadaan mengerikan di dalam bilik air pelajar lelaki.
Pada malam berikutnya, berlaku kejadian yang mengerikan apabila giliran Reen pula menjadi mangsa yang seterusnya. Haris dan Daniel iaitu kekasih Reen cuba untuk menyelamatkan keadaan Reen, namun berlaku perkara yang tidak di sangka-sangka oleh mereka.
Sesuai dengan namanya Gamatisme yang bermaksud dunia kacau, keempat-empat sahabat ini tidak senang duduk apabila dihantui kejadian misteri dan pelik ini.
Paling utama, kesemuanya tertanya-tanya siapakah dan apakah tujuan wanita yang mengandung itu menghantui hidup mereka?
Rabu, 8 April 2015 @ 12:29 PM
No comments:
Post a Comment