KOTA TINGGI - Mayat seorang pelajar sekolah dipercayai mangsa kemalangan, ditemui terbaring di dalam semak di tepi jalan Kilometer 8 Jalan Kota Tinggi-Kluang berhampiran Kampung Batu Ampat, di sini.

Mangsa, Ahmad Azmi Norazni, 17, seorang pelajar Sekolah Menengah Vokasional Kota Tinggi ditemui orang awam yang melalui kawasan itu kira-kira jam 7.00 pagi tadi.
  
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Rahmat Othman yang dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
  
Hasil siasatan awal polis mendapati mangsa adalah mangsa kemalangan, kata beliau.
  
Rahmat berkata, mangsa yang menunggang motorsikal jenis Honda EX5, dipercayai berseorangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Felda Linggiu, di sini selepas latihan sepak takraw di sekolah.

"Mangsa dipercayai telah terbabas ke kanan jalan dan terjatuh ke dalam semak dan setakat ini tiada saksi kejadian," katanya.
  
Beliau berkata, pihak polis juga tidak menjumpai sebarang pecahan komponen kenderan lain di lokasi kemalangan.
  
"Berdasarkan keadaan mayat yang sudah keras, dipercayai mangsa telah meninggal tidak kurang lima jam sebelum dijumpai," kata beliau.  

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat. - Bernama