Selepas berbulan-bulan mengasak sedikit demi sedikit, Dr Mahathir Mohamad akhirnya mengisytiharkan serangan terbuka terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Lebih menarik serangan itu dilancarkan sehari sebelum ulang tahun keenam pentadbiran Najib sebagai perdana menteri, yang jatuh pada hari ini.

Langkah itu dilihat usaha keduanya untuk menjatuhkan perdana menteri, yang berjaya pada kali pertama. Ironinya ia menguntungkan Najib ketika itu.

Ketika itu, Mahathir percaya bahawa Najib pemimpin terbaik untuk menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan persoalan sekitar pembunuhan Altantuya Shaariibuu tidak timbul.

Bagaimanapun, ketika menantunya, graduan Oxford yang sering dirujuk antara “budak tingkat empat”, dikatakan mempengaruhi pentadbiran Abdullah, Mahathir pun membuka silatnya.