Tuesday, 21 April 2015

Tanggungjawab Menjaga Ibu-bapa

1: Antara cara yang paling berkesan untuk menggapai cinta Illahi ialah melalui berkhidmat kepada kedua orang tua.
Jangan lupa kemuliaan yang ada pada kedua ibu bapa di rumah serta makbulnya doa mereka untuk kita. Santunilah mereka selagi ada peluang, dan janganlah kita sia-siakan mereka kerana pada mereka terletak kunci keberkatan dan syurga.
Ingatlah perintah Allah melalui firman-Nya dalam surah Al-Isra’ ayat 23 :
Yang bermaksud: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan-Nya, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali telah mencapai usia tua, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Uf" (ah!), dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (dan bersopan santun).

2: Kesungguhan dan keikhlasan dalam mencurahkan bakti kepada kedua ibu bapa.
Pengorbanan ibu dan ayah tidak dapat dinilai dengan harta benda. Pengorbanan ibu kita sewaktu menghamilkan kita, lalu kesakitan yang dialami disaat melahirkan kita adalah sesuatu yang sukar digambarkan. Akan tetapi semua kesakitan itu dilupakannya dan bertukar menjadi kegembiraan apabila mendengar tangisan pertama anaknya sebaik sahaja dilahirkan ke dunia ini.
Pengorbanan seorang bapa pula yang bertungkus lumus saban hari memastikan bahawa nafkah keluarga terjaga serta pengajian kita terpelihara, sehingga kita berjaya merangkul segulung ijazah.
Mereka tidak akan sanggup melihat kita sengsara dan akan melakukan apa sahaja demi kebajikan dan kebahagiaan kita. Kini mereka sudah tidak sekuat dahulu. Kaki yang dahulunya mampu untuk membawa kita ke pelbagai tempat, tiba-tiba tidak terdaya lagi. Apakah pada saat kedua orang tua amat memerlukan kepada bantuan dan sokongan anak-anak, kita tergamak untuk mula berkira lalu berbalah antara adik beradik berkaitan penjagaan mereka?
Tanggungjawab menjaga ibu bapa adalah amanah yang dipikul bersama di antara anak lelaki dan perempuan. Kita wajib berkongsi sama dan menjaga mereka dengan adil. Kita wajib bersedia untuk berkorban demi kebajikan mereka sepertimana mereka pernah berkorban untuk kita tanpa mengira jenuh atau lelah.

3: Keperluan kepada kesediaan mental, kesabaran dan kekuatan jiwa.
Kita hendaklah sentiasa ingat akan ganjaran yang Allah s.w.t. sediakan sebagai balasannya. Bersikap santunlah dalam menjaga hal ehwal mereka, usahakan agar mereka merasa keselesaan sebagaimana kita dahulu merasakan keselesaan tinggal di rumah kedua orang tua kita. Usah biarkan mereka merasakan bahawa diri mereka itu asing dan menumpang di rumah kita.

Semoga Allah s.w.t. memberi kita keikhlasan dan kekuatan untuk terus berkhidmat kepada orang tua kita sama ada mereka masih di dunia mahupun telah meninggalkannya. Semoga Allah s.w.t. mengampunkan segala dosa-dosa  kedua ibu-bapa kita dan mencurahkan rahmat-Nya ke atas kita semua. Amin Ya Rabbal Alamin.

No comments:

Post a Comment