Thursday 30 April 2015

Restoran pertama didakwa kerana GST

RAJA BUNESH BAGAM KAMARUDEEN diiringi anggota polis di Mahkamah
SHAH ALAM 30 April - Sebuah restoran di Seksyen 16 di sini merupakan premis pertama di negara ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap lima pertuduhan membabitkan kesalahan Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2014.
Restoran Hameeds Corner berdepan dengan tuduhan mengeluarkan kira-kira 2,000 invois cukai yang tidak mengandungi butir yang ditetapkan mengikut Seksyen 22 Peraturan Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014, bulan lalu.
Walau bagaimanapun restoran berkenaan yang diwakili pemiliknya, Raja Bunesh Bagam Kamarudeen, 38, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Restoran Hameeds Corner di No. 3-1-1 Suria Avenue Apartment 16/2, Seksyen 16, di sini pada 7 April sehingga 11 April lalu.
Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran dan Hazril Harun mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 33(2) (b) Akta GST (Akta 762) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 96 akta sama.
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda sehingga RM30,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan mencadangkan ikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin terhadap wakil syarikat tersebut.
Namun peguam, Cullin Andrew yang mewakili restoran berkenaan membantah dengan alasan kes tersebut tidak memerlukan sebarang ikat jamin kerana membabitkan saman terhadap premis.
Katanya, sebelum ini anak guamnya telah mengemukakan bon RM15,000 kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Mahkamah kemudian membenarkan pemilik restoran itu diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Mei untuk sebutan semula kes.
- See more at: http://m.utusan.com.my/berita/jenayah/restoran-pertama-didakwa-kerana-gst-1.86501#sthash.SZFgKLFx.dpuf

No comments:

Post a Comment