Wednesday, 22 April 2015

MENJUNJUNG KASIH IBU DAN BAPA

Firman Allah s.w.t., surah Lukman ayat yang ke-15, yang memberi peringatan kepada setiap mukmin untuk melayani kedua orang tuanya dengan baik :

Yang bermaksud: “Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya Engkau mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang engkau tidak mengetahui (tentangnya), maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaulah mereka di dunia dengan cara yang baik. dan turutlah jalan orang-orang ingin kembali kepadaKu. Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan”.

Ayat di atas merupakan teguran dari Allah s.w.t. kepada seorang sahabat. Beliau adalah Saad ibn Abi Waqqas r.a.

Saad bin Abi Waqqas r.a. merupakan salah seorang dari sahabat Rasulullah s.a.w yang terkemuka. Bahkan sebelum memeluk agama Islam, Saad terkenal dikalangan penduduk kota Mekkah sebagai seorang anak yang amat berbakti dan berkhidmat untuk ibunya. Tatkala berita  beliau  memeluk  agama  Islam diketahui  oleh  ibunya, Saad  telah didesak  oleh ibunya  untuk  keluar  daripada  agama  Islam.

Ibunya mengugut untuk tidak makan  selagi Saad tidak keluar dari agama Islam. Walaupun begitu, Saad tetap berbakti dan menyediakan makanan seharian ibunya, dan terus memujuk ibunya untuk makan. Setelah beberapa hari tidak makan, ibunya pitam kerana terlalu letih dan penat. Setelah ibunya kembali sedar, Saad meletakkan makanan di hadapan ibunya lalu berkata: “Wahai ibu, demi Allah, aku sangat mencintaimu. Namun cintaku kepada Allah dan Rasul Nya telah mengalahkan cintaku kepada dunia dan seluruh isinya. Sesungguh, seandainya engkau mempunyai seratus nyawa, lalu nyawa-nyawa itu keluar satu persatu, tidaklah aku akan meninggalkan agama ini.”

Mungkin kita yang tatkala mendengar jawapan Saad ibn Abi Waqqas ini akan bertanggapan, bahawa tidak ada apa-apa kesilapan dalam jawapan tersebut, dan Saad memiliki hak dan kebenaran untuk menjawab sedemikian.

Pada saat tersebut turunlah firman Allah s.w.t. dalam surah Lukman ke atas Nabi s.a.w. di atas memberi peringatan kepada Saad ibn Abi Waqqas. Bahawa walaupun ibunya tidak beriman kepada Allah dan Rasul, ia tidak bererti beliau boleh memberi layanan yang kurang memuaskan kepada ibunya. Sekiranya jawapan Saad tersebut dianggap tidak sesuai lalu ditegur Allah, bagaimana pula dengan sebahagian kita yang meninggikan suara atau menggunakan kata-kata kasar terhadap ibu bapa kita?

No comments:

Post a Comment