KUALA LUMPUR - Sebanyak 18 kertas siasatan berkaitan kesalahan pencatutan dibuka setakat ini untuk siasatan lanjut sejak pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April lepas.
  
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, daripada jumlah itu sebanyak 11 kes telah diambil tindakan di bawah Seksyen 14 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) kerana kesalahan mencatut.   

"Manakala tujuh kes di bawah kesalahan Seksyen 21 (5) akta berkenaan kerana gagal memberi maklum balas notis dalam tempoh tiga hari," katanya.   

Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya di Dewan Negara, di  sini, hari ini.   

Mengenai isu pemantauan dan penguatkuasaan harga semasa pelaksanaan GST, Ahmad Bashah berkata, sebanyak 16,534 aduan telah diterima sehingga Ahad lepas menerusi Pusat Gerakan Anti Pencatutan (PGAP) serta aduan dalam talian seperti Sistem E-Aduan, aplikasi Ez-ADU dan media sosial.   

"Selain itu, pengguna juga boleh membuat semakan harga melalui aplikasi MyKira GST... dan sekiranya perbandingan harga didapati di luar julat yang dibenarkan, pengguna boleh membuat aduan melalui aplikasi tersebut. Sehingga kini jumlah semakan melalui sistem ini adalah sebanyak 83,119 semakan," katanya.   

Dalam pada itu, Ahmad Bashah berkata, sejak 1 April lepas sehingga semalam, sebanyak 133,309 premis diperiksa dalam Operasi Antipencatutan (Ops Catut 2) dan  daripada jumlah itu, sebanyak 380 kes direkodkan dengan nilai rampasan berjumlah RM70,000 dan kompaun berjumlah RM59,000.   

"Selain itu, sebanyak 651 notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 telah dikeluarkan kepada peniaga yang menaikkan harga barang," katanya. - Bernama