Padah cuba curi kabel tembaga
11 Mac 2015
BESUT - Seorang lelaki berumur 30 tahun, yang menceroboh sebuah sekolah untuk mencuri kabel tembaga, cedera parah setelah terjatuh dari tingkat dua bangunan berkenaan, semalam.
Ketua Polis Daerah Besut, Supritendan Khaled Che Lah berkata, kejadian itu disedari seorang pengawal keselamatan Sekolah Kebangsaan Alur Lintah yang ketika itu sedang melakukan rondaan pada pukul 6.40 pagi.
"Pengawal keselamatan itu yang terdengar bunyi benda jatuh di tepi blok bangunan sekolah lantas mencari datangnya bunyi itu dan mendapati seorang lelaki terbaring di tepi longkang dalam keadaan kesakitan," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Menurutnya, suspek mengalami patah bahagian tapak kaki di samping pendarahan di mulut, telinga selain lebam-lebam di tangan serta kaki kanan.
Khaled berkata, siasatan yang dibuat susulan laporan oleh pihak sekolah mendapati suspek yang cedera itu sememangnya menceroboh bangunan sekolah berkenaan untuk mengambil kabel tembaga berikutan penemuan pemotong kabel, sabit dan besi penyungkil di tempat kejadian.
Suspek yang kini dalam tahanan polis dikejarkan ke Hospital Daerah Besut sebelum dirujuk Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan untuk rawatan lanjut. - Bernama
No comments:
Post a Comment