Friday, 6 March 2015

Selesaikan isu Ustaz Kazim dan Dr Asri secara tertutup - Pemuda Umno 

Selesaikan isu Ustaz Kazim dan Dr Asri secara tertutup - Pemuda UmnoARMAND AZHA: Selesaikan isu Ustaz Kazim dan Dr Asri secara tertutup. -Gambar fail 
KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno mencadangkan agar krisis melibatkan dua penceramah bebas terkenal negara diselesaikan secara aman dan tertutup.

Exconya, Armand Azha Abu Hanifah berkata, pertelingkahan di antara Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Datuk Mohd Kazim Elias itu hanya akan merugikan martabat dan maruah agama Islam selain meminta penyokong kedua-dua pihak agar tidak menyerang antara satu sama lain.

Mengulas krisis yang melibatkan kedua-dua penceramah bebas ini, Armand Azha menambah isu tersebut turut menarik perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang bersetuju agar perkara itu diselesaikan secara berhemah dan tertutup.

"Saya juga mohon agar Jamil Khir sendiri menjadi orang perantaraan dalam menyelesaikan isu ini secara baik dan saksama," kata Armand Azha kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Armand Azha mengulas krisis Mohd Kazim yang melahirkan rasa terkilannya berhubung kenyataan Dr Mohd Asri yang menuduhnya terlibat dengan pembacaan riwayat palsu mengenai Rasulullah SAW.

Ustaz Kazim berkata, dia turut kecewa kerana kenyataan Mufti Perlis itu yang menjadi viral di laman sosial telah menyebabkan segala hak nilainya berceramah selama 24 tahun seolah-olah tidak ada nilai dan kebaikan langsung.

Jelas Armand lagi, penyelesaian tertutup sekali gus dapat mengelak tanggapan buruk kaum lain selain menjaga kesucian agama Islam sendiri.

"Kita tidak mahu orang bukan Islam bertepuk tangan dan ketawakan kita bila tiba isu agama.

"Orang lain tengok kita sesama kita bergaduh dan bertelagah secara terbuka sehingga akhirnya maruah dan martabat Islam sendiri jatuh dan tergadai.

"Jangan menang bersorak akhirnya hilang martabat agama Islam. Cari jalan penyelesaian daripada biarkan ianya menjadi virus dan kudis yang hanya merugikan Islam," jelasnya.
 
Belum ada komen dikemukakan lagi. Jadilah orang yang pertama mengemukakan komen!

Kemukakan komen baru

No comments:

Post a Comment