Wednesday, 3 December 2014



Penipuan di Mudah.my : Langkah & Tips Elak dari Ditipu



Mudah.my adalah portal pengiklanan produk secara atas talian nombor satu di Malaysia. Mengikut ranking, Mudah.my berada di tempat ke-12 di Malaysia. Apabila sudah terkenal dan dikunjungi ramai, sudah tentu ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab mengintai peluang untuk mencari duit ekspress dengan menipu duit pembeli yang mengunjungi portal tersebut.

Baru-baru ini terdapat satu kes dimana seorang pengunjung Mudah.my telah ditipu RM1,990 oleh seorang peniaga di Mudah.my.

Ringkasan kepada kes ini seperti berikut: mangsa ingin membeli sebuah Macbook Air yang diiklankan di Mudah.my oleh peniaga tersebut. Setelah memasukkan deposit sebanyak RM1,990 ke dalam akaun bank peniaga itu, tiada khabar berita mengenai Macbook Airnya. Panggilan telefon dan mesej juga tidak berbalas. Setelah itu, peniaga terbabit dilihat meletakkan iklan baru di Mudah menggunakan Macbook Air yang sama.

Salinan laporan polis yang dibuat oleh mangsa
Modus operandi yang digunakan oleh peniaga ini adalah dengan mengiklankan Macbook dengan harga yang murah atau dalam bahasa inggerisnya 'too good to be true'. Selepas itu, mangsa akan diminta untuk memasukkan sejumlah deposit ke dalam akaun bank peniaga itu sebelum dia mendiamkan diri.

Salinan Iklan Macbook yang menjadi alat penipuan peniaga tersebut
Penulis sendiri sudah dua kali 'terserempak' dengan penipu ini beberapa bulan lepas di Mudah.my dan penulis percaya mereka ini bukan warga tempatan. Buktinya, penulis beberapa kali mengumpan mereka ini bercakap melayu melalui mesej tetapi ternyata mereka gagal berbuat demikian.

Cara mereka menipu pula sama sahaja, iaitu dengan mengiklankan Macbook dengan harga yang murah. Penipu ini juga mensasarkan pembeli dari luar bandar selain menggunakan beberapa nama palsu dan juga nombor kad pengenalan palsu.

Langkah Hindari Dari Penipuan
Menilai dari modus operandi penipu ini, berikut beberapa langkah yang boleh digunakan untuk menghindari dari ditipu:
  • Jangan beli barangan yang penjualnya tidak boleh bercakap bahasa melayu atau rojak (dalam mesej & telefon). Pastikan anda menelefon peniaga tersebut sebelum membuat sebarang transaksi.
  • Pastikan butiran barang yang ingin dibeli lengkap dan jelas.
  • Pastikan juga produk yang diiklankan sama dengan apa yang dijelaskan di segmen butiran.
  • Minta nombor kad pengenalan peniaga, kemudian periksa di laman web daftar pemilih untuk memastikan nombor kad pengenalan itu bukan palsu.
  • Pastikan nama peniaga(dari laman web daftar pemilih) sama atau ada kaitan dengan nama yang digunakan di Mudah.my.
  • Pastikan gambar yang digunakan oleh peniaga untuk memaparkan produknya adalah asli dan bukan gambar dari internet. Cara bagi pengguna Chrome adalah dengan 'right-click' pada gambar tersebut, kemudian tekan pada 'search google for this image'. Sekiranya wujud hasil carian di google, gambar tersebut bukan gambar asli.

Cadangan
Satu cadangan lagi yang boleh meminimakan penipuan ini adalah dengan memastikan setiap butiran barang ditulis dalam bahasa melayu. Tetapi cadangan ini memerlukan kerjasama dari kedua-dua pihak, iaitu peniaga dan juga pembeli. Jadi, kesedaran awam tentang perkara ini amat diperlukan.

Bagi pihak mudah.my pula, antara cadangan yang boleh diambil kira adalah dengan memaksa peniaga melampirkan akaun facebook sebagai bukti peniaga adalah sahih ataupun berkerjasama dengan pihak kerajaan bagi memastikan nombor kad pengenalan & syarikat yang dimasukkan adalah sahih. Selain itu, penggunan data seperti nama & nombor kad pengenalan yang sahih juga perlu dititik beratkan oleh Mudah.my.

Perkara ini perlu diambil serius supaya keyakinan ramai untuk membeli secara online tidak tergugat. - Siakapkeli.com.my

No comments:

Post a Comment