Wednesday, 12 November 2014
Pembunuhan 43 pelajar: Penunjuk perasaan rampas lapangan terbang Acapulco
SELASA, 11 NOVEMBER 2014 - 10:10AM
ACAPULCO: Penunjuk perasaan yang marah dengan pembunuhan beramai-ramai 43 pelajar Mexico, bertempur dengan polis dan merampas Lapangan Terbang Acapulco selama beberapa jam semalam berikutan skandal yang menggoyangkan kedudukan Presiden Enrique Pena Nieto.
Beribu-ribu orang berarak ke lapangan terbang itu, diketuai ibu bapa pelajar terbabit dan disertai rakan kolej perguruan Guerrero.
Tunjuk perasaan menyusuli bantahan yang diadakan pada penghujung minggu lalu di mana pihak berkuasa berkata kumpulan bersenjata mengakui membunuh 43 pelajar terbabit dan membakar mayat mereka September lalu selepas diserahkan oleh anggota polis yang terbabit dengan rasuah.
"Pena turun! Pena pembunuh! Duduklah di China," teriak penunjuk perasaan, merujuk kepada keputusan kontroversial presiden berkenaan untuk menghadiri sidang kemuncak di Beijing ketika rakyat marah dengan kejadian membabitkan pelajar itu.
Penunjuk perasaan itu menutup jalan masuk ke lapangan terbang selama lebih tiga jam manakala beberapa orang memakai topeng muka kelihatan membawa kayu.
Sebelum sampai di lapangan terbang, penunjuk perasaan terbabit membaling batu dan bom api ke arah polis antikeganasan yang menghalang mereka, mengakibatkan sekurang-kurangnya 20 anggota cedera.
Pelancong pula terpaksa berjalan kaki ke lapangan terbang dengan menarik beg di belakang mereka. Tiga penerbangan dibatalkan. - AFP
No comments:
Post a Comment