KUALA LIPIS - Dua beradik di Kampung Bukit Betong, dekat sini terpaksa menumpang kasih bersama ibu saudara mereka lantaran kesusahan hidup dan kesihatan yang tidak mengizinkan.

Wan Rosliza Wan Ibrahim, 49, bersama adiknya, Wan Mazilawati, 38, tinggal di rumah ibu saudara, Wan Khadijah Wan Abdul Majid setelah orang tua mereka meninggal dunia.

Lebih menambah derita Wan Rosliza yang menghidap diabetes sejak lebih 10 tahun apabila dia tidak mampu bergerak aktif setelah terjatuh kira-kira sebulan yang lalu.

Wan Rosliza berkata, setelah terjatuh di dapur rumah berkenaan, bahagian pinggang serta kaki sering sakit dan menyebabkan dia terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda.

“Dahulu saya bekerja sebagai pembantu kedai di Bandar Lipis, namun setelah menghidap kencing manis kronik, saya terpaksa berhenti kerja kerana kudrat sudah tidak kuat.

“Adik, Wan Mazilawati pula tidak boleh bertutur sejak dari lahir dan bergantung kepada ahli keluarga untuk menguruskan diri,” katanya.

Wan Rosliza berkata, walaupun mereka berdua menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun masih tidak mencukupi lantaran kos sara hidup yang semakin tinggi.

“Bonda (Wan Khadijah) tidak bekerja kerana terpaksa menjaga kami dua beradik.

“Seorang lagi ibu saudara, Wan Maimunah Wan Abdul Majid ada bantu kami serba sedikit dengan wang pencen miliknya namun dia juga sudah berkeluarga dan harus mengutamakan keluarganya,” katanya.

Sehubungan itu, sekiranya ada mana-mana pihak yang sudi menghulurkan bantuan boleh menghubungi Wan Rosliza di talian 012- 9841196 atau terus menghulurkan sumbangan melalui Maybank 106119157430.