KOTA BHARU - Padah buat seorang penganggur kerana memiliki pistol tanpa lesen sah, dia dihukum penjara lapan tahun dan enam sebatan oleh mahkamah sesyen, di sini, hari ini.

Tertuduh, Engku Asmawi Engku Harun, 27, dari Kampung Kangkong, Pasir Mas, didakwa memiliki senjata api jenis Revolver 7.65 MM Colt no siri : 689553 di Jalan Sri Cemerlang, di sini, pada jam 8 pagi, 24 November, dua tahun lalu.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai 14 tahun dan juga sebat tidak kurang daripada enam kali.
Pada prosiding itu, tertuduh mengaku benar-benar insaf atas kesilapannya dan merayu mahkamah meringankan hukuman selain meminta ia berkuat kuasa serentak dengan hukuman yang sedang dijalani bersabit kesalahan samun.
Rayuan itu bagaimanapun dibantah Timbalan Pendakwa Raya Kelantan, Ahmad Salam Yusof yang memohon mahkamah mempertimbangkan kepentingan awam mengatasi kepentingan diri tertuduh.
“Saya mohon satu hukuman yang setimpal dengan kesalahan tertuduh dan bersesuaian dengan kesalahan serius yang dilakukan tertuduh. Hukuman itu juga diharap dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan sempadan kepada masyarakat luar dari mengulangi jenayah sama.
“Tertuduh juga adalah banduan yang terbabit dengan beberapa kes jenayah lain sebelum ini. Saya juga memohon supaya segala bahan bukti disimpan selamat oleh pihak pendakwaan untuk digunakan terhadap pertuduhan ke atas kes-kes yang lain,” katanya.
Dalam perkembangan sama, tertuduh juga dihukum penjara tiga tahun selepas mengaku salah memiliki tiga kelongsong peluru dan tiga peluru hidup bertanda 7.65 mm S dan B11 tanpa lesen pada masa, tarikh dan lokasi sama.
Hakim, Mohd Yusoff Yunus dalam keputusannya mengarahkan kedua-dua hukuman berkuat kuasa serantak dari tarikh hukuman dijatuhkan menjadikan jumlah penjara yang perlu dijalani tertuduh adalah lapan tahun dan enam sebatan.