JENGKA - Salah faham lubang sampah ditimbus tidak sengaja, menyebabkan dua warga emas yang berjiran di sebuah tanah rancangan Felda Jengka dekat sini bertumbuk sesama sendiri.
Salah seorang daripada mereka, terpaksa menerima rawatan selama dua hari di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh akibat cedera di bahagian dada dan muka.

Dia dipercayai diserang dari arah belakang menggunakan senjata tajam oleh jirannya ketika berada di atas motosikal, kira-kira jam 7.30 pagi pada hari kejadian.

Kedua-dua mereka dikatakan bergelut dan saling membalas serangan sebelum mangsa tidak sedarkan diri.

Mangsa dibawa ke HoSHAS oleh anaknya kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Pekan Awah.

Sementara jiran berkenaan cedera di bahagian hidung.

Terdahulu, mangsa difahamkan tidak sengaja menimbus sebuah lubang sampah milik jiran sehingga menyebabkan jirannya itu naik berang.

Selepas dua hari di HoSHAS, mangsa membuat laporan di balai polis sama kerana tidak berpuas hati dengan kejadian yang menimpa dirinya.

Namun tiga jam kemudian, mangsa hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran bagi menarik semula laporan tersebut atas alasan masalah kesihatan.

Perselisihan faham kedua-dua peneroka itu mendapat perhatian pengurusan tanah rancangan Felda berkenaan yang menasihati agar ianya diselesaikan secara baik memandangkan mereka tinggal berjiran selain faktor usia.

Difahamkan, perselisihan faham antara dua jiran itu berjaya diselesaikan secara baik.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Pemangku Deputi Superintendan Sulaiman A Hamid ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.