MASJID TANAH - Keseronokan bercuti bersama keluarga bertukar tragedi apabila seorang remaja lelaki ditemui lemas di laut Pantai Padang Kemunting, Pengkalan Balak, di sini, semalam.

Mangsa, Mohd Firdaus Azman, 16, dikatakan lemas ketika bermandi-manda di laut bersama lima beradiknya dan seorang sepupu mereka dalam kejadian kira-kira jam 7.40 pagi.

Ibu mangsa, Rosliza Kadir, 45, berkata, salah seorang daripada mereka mengambil bola dan membaling ke arah laut namun sedikit tersasar sebelum Firdaus mengejarnya.

“Saya cuba menjerit untuk menghalang Firdaus daripada terus mendapatkan bola namun dia mungkin tidak mendengar suara saya, dan terus menuju ke arah bola sebelum saya hanya melihat bahagian kepalanya sahaja,” katanya.

Rosliza berkata, dia menjerit meminta tolong namun tiada sesiapa di pantai sementara suaminya Azman Rohani, 48, pula pergi mencari air minuman untuk sarapan pagi.

“Ada seorang pakcik yang kemudian datang membawa pelampung namun apabila melihat ke laut, saya dah tak nampak Firdaus lagi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah, Penolong Penguasa Bomba, Shamsol Fuad Mohammad berkata, sebanyak dua jentera bergegas ke lokasi bersama 20 anggota bersama lapan Pasukan Penyelamat Di Air.

“Operasi yang bermula kira-kira jam 8 pagi turut membabitkan 33 anggota dan pegawai Polis Di Raja Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.

Bagaimanapun, mayat mangsa berjaya ditemui tiga jam kemudian kira-kira-kira 20 meter dari lokasi dia didapati lemas.