KUALA LUMPUR – Sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang bergerak aktif di Lembah Klang, selepas melakukan serbuan di sebuah hotel di Jalan Ipoh, 20 Mei lalu.

Menurut kenyataan dikeluarkan PDRM, seramai empat individu yang terdiri daripada tiga lelaki tempatan dan seorang wanita warga Thailand ditahan, serta merampas dadah jenis syabu seberat 0.7 kilogram yang dianggarkan bernilai RM114,450.

Hasil soal siasat kesemua suspek, polis menemui dadah tersebut di beberapa lokasi di tingkat yang berasingan di hotel berkenaan.

Polis kini berusaha mengesan saki-baki ahli sindiket yang terlibat.

Dalam perkembangan lain, seorang pelajar warga asing yang dipercayai memiliki dadah jenis syabu telah ditahan oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik  Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, Jumaat lalu.

Menurut sumber, hasil pemeriksaan, pihak polis menjumpai kira-kira 53 gram syabu di dalam poket seluarnya, nilai rampasan dadah itu dianggarkan RM7,950.

“Pelajar lelaki berumur 34 tahun yang menuntut di sebuah kolej swasta di ibu kota kini ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.