TAWAU - Pertukaran jawatan Menteri Pengangkutan tidak akan menjejaskan misi pencarian MH370 kerana kesinambungan usaha akan diteruskan, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

"Saya yakin Menteri Pengangkutan kita yang baharu, Datuk Seri Liow Tiong Lai mampu menjalankan tanggungjawab dengan baik. Oleh itu saya mahu kita jangan bimbang kerana strukturnya telah ada... saya mahu beritahu kepada keluarga kru dan penumpang bahawa saya juga tetap komited untuk membantu misi pencarian pesawat MH370 itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat dan mendengar taklimat keselamatan bersama Pemerintah Pasifik Kor Marin Amerika Syarikat Lt-Jen Terry Robling di Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2), di sini, hari ini.
  
Semua pihak terutama keluarga yang terlibat perlu yakin kerana komitmen yang diberikan oleh kerajaan tidak akan berhenti dan komitmen itu juga datang daripada peringkat tertinggi, katanya.
  
"Komitmen itu juga datang dari negara lain termasuk China dan Australia. Jadi sokongan itu telah ada dan jawatankuasa kementerian juga telah diwujudkan dan hari ini satu delegasi tertinggi akan ke Bejing untuk berbincang mengenai fasa baharu dan minggu lepas delegasi yang sama ke Canberra untuk berbincang dengan Australia," katanya.
  
Semalam Najib mengumumkan pelantikan tiga jawatan menteri dan tiga timbalan menteri dari kalangan pemimpin MCA dan Gerakan.

Selain Tiong Lai (Presiden MCA) turut dilantik ialah Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong dan Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong masing-masing dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
  
Mengulas lawatan bersama Pemerintah Pasifik Kor Marin Amerika Syarikat ke ATB 2 itu, Hishammuddin berkata pihak kementerian bersetuju untuk berkongsi pengalaman dalam isu keselamatan di negara ini khususnya di Sabah.
  
"Ia penting untuk kita mendapat sebanyak mungkin maklumat yang boleh membantu dalam perancangan yang dibuat perdana menteri berkaitan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Essom) dan ini bukan sahaja dari segi perancangan tetapi juga dari segi latihan dan juga risikan," jelas beliau.
  
Sementara itu, Hishammuddin berkata tugas pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berkisar kepada jenayah tradisi, penculikan, penyeludupan dan perdagangan manusia, tetapi kini lebih kepada ancaman militan.
  
"Jadi jangan kita samakan jenayah rentas sempadan itu dengan isu pencerobohan keganasan militan seperti apa yang kita lalui semasa di Lahad Datu awal tahun lepas. Pendekatan yang holistik, kerjasama lebih luas dngan negara-negara yang dapat memberi nilai tambah kepada perancangan kita akan diteruskan," katanya.
  
Turut hadir dalam lawatan itu ialah Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan dan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Pang Yuk Ming. - Bernama