KUANTAN - Seorang jurutera kilang nadir bumi Lynas mati lemas di sebuah kolam di kawasan kilang itu di kawasan Perindustrian Gebeng di sini hari ini.
  
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superitendan Abdul Aziz Ahmad berkata, Mohamad Fadzli Mohamad Rafdzi, 33, dipercayai tergelincir dan terjatuh ke dalam kolam itu pada kira-kira 9 pagi.
  
"Seorang rakan mangsa, Sharizal Samsudin, 40, membuat laporan polis di Balai Polis Gebeng sejurus kejadian," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
  
Beliau berkata, polis dan anggota Bomba dan Penyelamat bergegas ke lokasi kejadian dan menemui mayat mangsa di kolam itu pada 2.40 petang dan mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk bedah siasat.
  
"Hasil bedah siasat mendapati mangsa mati akibat lemas dan tiada sebarang unsur jenayah namun polis masih menjalankan siasatan lanjut," katanya.  - Bernama