IPOH - Seorang pelajar, tahun lima, Harsvin Kumar, 11,  yang kini lumpuh separuh badan sejak dua tahun lalu akibat kemalangan memohon bantuan orang ramai bagi membolehkannya menjalani rawatan pakar di Kerala, India.

Bapanya, S Danabalan, 47, berkata, anak bongsu daripada empat beradik itu terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke rumah saudara di Gerik.

“Disebabkan kemalangan itu, kepala Harsvin terpaksa dibedah dan dia koma selama tiga minggu, namun kecederaan pada saraf tunjang menyebabkan Harsvin kehilangan keupayaan untuk berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda.

“Sebelum ini, Harsvin turut menjalani rawatan susulan serta fisioterapi di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB). Saya turut bawa Harsvin ke hospital pakar di India, Ogos tahun lalu dan ada perkembangan positif,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat dan Adun BN Perak,  semalam.

Danabalan berkata, keluarganya memerlukan sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan untuk membiayai kos perubatan anaknya namun dengan gajinya sebagai juruteknik tidak mencukupi memandangkan kesemua anak-anaknya masih belajar.

Katanya, walaupun menggunakan kerusi roda, Harsvin tetap ke sekolah dengan dibantu ibunya setiap hari.

“Saya kasihan melihat Harsvin, dia seorang kanak-kanak aktif dan bercita-cita mahu menjadi juruterbang. Saya sedaya upaya berusaha mencari pakar terbaik untuk membantu memulihkan kakinya walaupun mengambil masa lama.

“Buat masa ini, saya berikan kata-kata semangat supaya dia kembali positif dan ceria untuk memastikan dia yakin dapat berjalan seperti dahulu dan capai impiannya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak, Mohd Rawi Abdullah turut merayu orang ramai menghulurkan sumbangan kepada kanak-kanak malang itu.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya menerusi akaun CIMB atas nama Pertubuhan Masyarakat Prihatin Perak, 0811000553851 atau menghubungi Danabalan di talian 012-5126201.