Berita Utama
Bahana mulut celupar
Oleh Gaddafi Musli
SEPANG: Seorang penumpang wanita bagi penerbangan Malindo Air OD1622 ke Kuching, Sarawak, diarah keluar dari pesawat sejurus sebelum berlepas, di KLIA2, petang tadi.
Pengarah Perhubungan Awam dan Komunikasi Malindo Air, Raja Sa'adi Raja Amrin, berkata penumpang berkenaan mengugut menggunakan perkataan 'bom' dan 'MH370' menyebabkan krew pesawat segera menghubungi pihak keselamatan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk tindakan lanjut.
"Wanita berusia 41 tahun dari Sarawak itu mengeluarkan kata-kata berkenaan terhadap seorang pramugari hanya kerana tidak berpuas hati mengenai lokasi simpanan begnya yang terpaksa diletakkan di ruang lain," katanya ketika dihubungi malam tadi.
Raja Sa'adi berkata, sebaik mendengar perkataan 'bom', krew pesawat segera menghubungi pihak keselamatan MAHB yang menahan penumpang berkenaan kerana sudah menjadi prosedur apabila perkataan bom disebut tindakan keselamatan akan diambil.
Penerbangan OD1622 yang membawa 140 penumpang itu sepatutnya berlepas pada jam 2.40 petang tadi namun ditunda selama dua jam dan tiba di Kuching, Sarawak tanpa sebarang kejadian tidak diingini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang DSP Zaldino Zaludin mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan suspek ditahan pada jam 6 petang selepas menerima laporan daripada pihak MAHB.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut yang membawa hukuman penjara maksimum 2 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
No comments:
Post a Comment