KITA biasa dengar orang kata, di belakang kejayaan seseorang lelaki, selalunya ada wanita. Begitu juga dikatakan sehebat-hebat lelaki, yang boleh membuatkan dia tertewas (atau mungkin juga yang menewaskannya) adalah wanita.

Lagi kita boleh perhatikan, betapa macho, profesional atau intelektualnya seseorang lelaki, dia masih boleh turun darjatnya yang setinggi itu ketika berhadapan dengan wanita. Malah dia mungkin berfikir bahkan bertingkah laku tidak matang seperti remaja atau kanak-kanak dalam hubungannya dengan wanita.

Inilah hakikatnya kita!

Selagi tidak keterlaluan, jangan anggap hal yang seperti ini sebagai sesuatu yang buruk kerana mungkin ada sebab tuhan menjadikan kita dengan sifat demikian.

Walaupun nampak zahirnya seperti hodoh, namun keindahannya tetap ada.  Kata orang, ada comelnya kalau kita yang macho ini sesekali berperangai keanak-anakan.

Kita manusia, ada ketika perlu tunjuk matang, bijak dan profesional namun jauh di dalam jiwa, kita tetap membawa kemahuan dan keinginan yang  keanak-anakan.

Suatu yang kita harus akui, dalam banyak keadaan, apabila tercetus konflik dengan pasangan, kita sering sahaja dihambat oleh api amarah untuk meneroka daripada satu tahap kepada satu tahap sekali gus menjadikan konflik awalnya ringan kepada keadaan yang lebih berat, rumit dan serius. Kita melakukannya tanpa ragu-ragu meskipun kita sedar implikasi yang menanti adalah sangat buruk.

Mengapa kita jadi begitu?

Apa yang mendorong kita untuk bertindak demikian meskipun kita sedar kesannya tidak baik?

Asbabnya tidak lain tidak bukan adalah kerana ego. Kita sanggup menempah maut sekadar mencari helah untuk dipujuk. Tidak kira lelaki atau wanita, masing-masing ada keinginan untuk dipujuk walaupun kecenderungan untuk bersikap begitu, biasanya wanita. Namun lelaki pun tidak kurang, ada  juga yang mengada-ada.

Dan sudah semestinya apabila berhadapan dengan pasangan, perangai hodoh itu kian menjadi-jadi. Walaupun perangai mengada-ada selalunya dikaitkan dengan  konotasi yang negatif namun seperti yang saya nyatakan tadi, selagi tidak berlebihan, tingkah laku yang seperti kadang kala jadi pengikat kemesraan. Sebab itulah, perangai mengada-ada ini sering mahu ditunjukkan kepada pasangan.

Dan sedar atau tidak sedar, itulah petanda indahnya cinta. Yang tidak indah apabila konflik yang mulanya remeh, bertujuan hendak mengada-ada, dibiarkan melarat dan akhirnya membawa kepada pecah belah, berantakan malah perang dunia. Kadang kala, isunya tersangat kecil malah ada juga yang sekadar pseudo.

Hal yang seperti ini lazimnya berlaku apabila tidak ada persefahaman atau keseiringan dalam maksud atau tujuan.

Apabila ciri-ciri yang seperti ini tidak wujud dalam hubungan,  masing-masing cenderung untuk tidak mahu mengalah walaupun dalam keadaan tertentu, ia masih boleh ditafsirkan sebagai tekanan untuk dipujuk. Namun apabila ia melewati had tertentu, hal yang kecil jadi besar. Macam mancis api yang dinyalakan, boleh bakar rumah, kilang malah lapangan terbang.

Biasanya terjadi begitu apabila kita mula mengungkit hal lama. Hal yang sudah tertimbus 15 tahun, dibongkar semula. Fail lama diselak, dibuka.

Apabila berlaku hal demikian, perhatikan: Sama-sama akan merenung telefon sambil tertanya-tanya dalam hati “bila dia nak call?” atau “bila dia nak SMS?” Terfikir pula, “macam mana kalau aku saja yang SMS dulu?”

Kemudian akal jahat pula menghalang: “Eh! Jangan! Biarlah dia yang call dulu (ataupun mesej dulu) mana boleh aku yang call!”

Untuk menguatkan hujah, akal yang jahat ini berkata pula: “Dia yang salah, dialah yang kenal call... apa aku pulak nak call? Come on la...”

Apabila berlaku hal yang seperti ini, satu perkara yang kita masing-masing kena ingat, ‘akal jahat’ itu siapa? Itulah bisikan  syaitan yang tujuannya mahu meruntuhkan masjid anak cucu Adam.

Itulah kerja penghasut, membesar-besarkan ego untuk memecahbelahkan hidup manusia. Berbalik kepada baris pertama yang saya tulis di atas, peranan atau kehadiran pasangan dalam hidup kita amatlah mempengaruhi. Apa yang berlaku dalam hubungan dengan pasangan akan bawa kesan yang besar pada diri kita. Jika tidak ditangani dengan baik, ia boleh membawa kehancuran dalam jangka panjang.

Itulah tujuan Iblis dan syaitan. Kerana itu, lawanlah. Mengada-ada, ada tahapnya mencantikkan hubungan tetapi kalau keterlaluan, akan bawa keburukan. Lawanlah dengan hati yang ikhlas mengenang pentingnya pasangan bagi diri kita, betapa baiknya dia selama hidup bersama, mengapa hal yang kecil mahu diperbesar-besarkan?

Kerana itu, jangan tunggu dia yang SMS atau hubungi kita, tetapi kitalah yang dahulu mulakan. Sebaik mendengar sahaja suaranya di hujung sana, anda pasti akan terasa betapa indahnya cinta dan betapa sayangnya anda kepada si dia.