IPOH - Seorang pembantu rumah warga Indonesia ditemui mati dengan kesan jerutan di leher di rumah majikannya di Taman Tasek Mewah di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata mangsa yang berusia 32tahun itu ditemui terbaring di ruang tamu oleh majikannya kira-kira jam 7.45 pagi.

"Kebiasaannya majikan mangsa akan nampak pembantu rumah itu kerana dia bangun awal pagi. Namun hari ini pengadu tidak menemui sesiapa sebelum bertindak membuka pintu rumah dan terlihat mayat mangsa lengkap berpakaian di ruang tamu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata lelaki berusia 40 tahun itu kemudian mendekati mangsa dan melihat sehelai tuala mandi berwarna putih di leher pembantu rumahnya sebelum bertindak menghubungi pihak polis.

Beliau berkata mangsa ditemui di atas tilam yang menjadikan ruang tamu sebagai tempat tidurnya.

Rumah teres setingkat itu didiami ibu mertua dan ibu pengadu sendiri yang masing-masing berusia 72 dan 80-an yang dijaga oleh pembantu rumah terbabit sejak dua tahun lepas, katanya.

"Kedua-dua warga emas itu tidak tahu apa-apa ketika kejadian itu berlaku, dan mereka tidak cedera. Ibu dan ibu mertua majikan terlalu uzur dan tidak mampu berjalan," katanya.

Sum berkata pemeriksaan awal polis juga mendapati tiada barang yang dipercayai hilang dan tiada sebarang kesan pergelutan dilaporkan.

Selain itu siasatan awal mempercayai mangsa telah maut tempoh antara 12 jam sebelum ditemui oleh majikannya.

"Pengadu memasuki rumahnya seperti biasa dan mendapati pintu pagar dan pintu rumah terkunci rapat, tiada kesan pecah masuk pada pintu rumah tersebut tetapi pintu belakang rumah terbuka," katanya. - Bernama