GEORGETOWN - Seorang bapa tiga anak dilihat memegang erat tangan isterinya sebelum didakwa dalam kandang tertuduh di Mahkamah Majistret Goergetown di sini.

Tertuduh, Suhaimi Saad didakwa atas kesalahan memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 0.04 gram dan atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak kurang lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memasukkan dadah ke dalam badannya tanpa kebenaran.

Akibatnya dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan 2004) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam rayuan yang diwakili peguamnya, tertuduh memohon supaya hukuman direndahkan kerana mempunyai tiga anak yang masih kecil dan perlu ditanggung.

“Walaupun isterinya turut bekerja namun tertuduh masih diperlukan kerana bersama-sama bertanggungjawab untuk menyara keluarganya.

“Jumlah dadah yang ditemui pada tertuduh juga adalah amat sedikit dan hanya untuk kegunaan sendiri, oleh itu saya yang mewakili tertuduh merayu supaya hukumannya direndahkan,” katanya.

Majistret Umma Devi Loganathan kemudiannya menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,800 bagi pertuduhan pertama dan sekiranya gagal bayar, enam bulan penjara.

Sementara bagi pertuduhan kedua, tertuduh dikehendaki membayar denda RM1,600 dan sekiranya gagal bayar, tiga tahun penjara.

“Tertuduh juga dikehendaki menjalani perintah pengawasan selama tiga tahun,” katanya.