Thursday, 24 April 2014

Majlis mewah Wanita Pertama Iran dikritik

Dubai: Presiden Iran Hassan Rouhani - yang berdepan tekanan daripada golongan konservatif kerana dilihat memihak kepada negara Barat - dikritik semalam kerana membenarkan parti mewah dianjurkan isterinya berlangsung Sabtu lalu.
Golongan konservatif di parlimen menuduh Hassan hidup mewah ketika orang kebanyakan mengalami masalah kewangan dan ekonomi akibat sekatan negara Barat.
Seorang ahli parlimen berkata, tidak mungkin seseorang pemimpin menggesa rakyat berjimat cermat ketika wang negara dibelanja untuk mengadakan majlis mewah.
Sekurang-kurangnya 11 ahli parlimen menandatangani petisyen mengkritik presiden itu.
Bagaimanapun, Hassan tidak mengendahkan tuduhan berkenaan.
“Saya amat terkejut apabila majlis yang diadakan untuk tujuan baik boleh dikecam sebegini semata-mata bagi menimbulkan gosip dan fitnah.
“Semua peraturan syariah dipatuhi dalam majlis itu dengan wanita yang hadir berpakaian tradisional manakala kanak-kanak perempuan turut dilihat bergembira,” katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu sekali gus menolak gambaran majlis berkenaan - yang turut dihadiri duta asing - berunsur Barat.
Isteri Hassan, Sahebeh Arabi lebih banyak dilihat di khalayak umum berbanding wanita pertama terdahulu, malah kerap juga menghadiri majlis pendidikan atau kebajikan dengan memakai ‘chador’ (jubah) hitam tradisional.
Majlis itu diadakan sempena Hari Wanita Sedunia diadakan di istana bekas pemimpin Iran yang digulingkan, Mohammad Reza Shah di utara Tehran.
Majlis itu turut jatuh pada hari ulang tahun kelahiran puteri Nabi Muhammad (SAW), Saidatina Fatimah al-Zahra.

- Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/24

No comments:

Post a Comment