BAHASA
Hishammuddin lari ke Hawaii, tunjuk BN tidak serius bincang MH370 dengan Pakatan
Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali berkata, keengganan Hishammuddin memberikan taklimat itu sendiri kepada ahli Parlimen PR seperti yang diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menunjukkan Barisan Nasiional (BN) tidak serius menyelesaikan isu kehilangan pesawat MAS tersebut.
“Pagi ini kita dapat maklumat menteri lari dan pergi ke Hawaii untuk sidang yang lain.
“Pihak yang mempolitikkan isu ini adalah kerajaan BN yang tidak serius bekerjasama dengan ahli Parlimen PR bagi mencari penyelesaian penting dalam isu antarabangsa,” katanya pada satu sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Shahidan sebelum ini mendakwa kerajaan sedia mengadakan pertemuan dengan anggota Parlimen pembangkang bagi menyampaikan maklumat terperinci berhubung tragedi penerbangan MAS MH370.
Katanya, pertemuan itu diatur pada malam Selasa ini di antara anggota Parlimen pembangkang dengan Hishammuddin.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Khairuddin Aman Razali berkata, wakil rakyat adalah kumpulan pertama yang perlu dimaklumkan sekiranya berlaku apa-apa insiden supaya maklumat yang disampaikan betul dan telus.
Katanya, dengan pemergian Hishammuddin ke Hawaii membuktikan peluang ahli Parlimen PR mendapat maklumat yang telus berhubung kehilangan pesawat MH370 dihalang oleh kerajaan.
“Isu sebegini besar kami terpaksa cari maklumat dari luar dan bukan daripada pihak bertanggungjawab untuk membekalkan maklumat yang betul dan telus.
“Kita seolah-olah tidak diberi peluang bertanya pun. Bertanya menjadi satu kesalahan sedangkan kita mahu mendapatkan maklumat yang betul untuk dijelaskan,” katanya.
Katanya, apa yang dikatakan Abdul Rahim di Dewan Rakyat minggu lalu pastinya berdasarkan maklumat yang disalurkan kakitangan kerajaan.
“Saya percaya apa yang dikatakan dalam dewan bukan pandangan peribadinya tetapi diberi taklimat oleh pegawai kerajaan. Sebab itu kita mahu penjelasan sepenuhnya mengapa kenyataan itu yang dikatakan ‘pandangannya’ sahaja tidak betul.
“Satu siasatan menyeluruh diperlukan kerana ia sesuatu yang serius bukan sahaja menyentuh maruah dan kredibiliti Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta kerajaan tetapi tingkah laku timbalan menteri dalam dewan,” katanya.
Abdul Rahim pada Khamis menarik balik kenyataan yang dibuat di Dewan Rakyat pada hari sebelumnya bahawa pesawat MAS MH370 berpatah balik kerana kemungkinan mendapat arahan daripada pusat kawalan dengan menyatakan ia hanyalah andaian beliau.
Beliau juga mengakui setelah semakan dibuat, pihaknya mendapati andaian tersebut adalah salah sama sekali.
"Jawapan saya pada sesi Parlimen menyatakan pesawat MH370 berpatah balik berkemungkinan setelah menerima arahan daripada pusat kawalan hanyalah andaian," katanya dalam satu kenyataan.
Abdul Rahim semasa di Dewan Rakyat menyatakan Kementerian Pertahanan tidak mengambil tindakan apabila melihat pesawat tidak dikenali di radar tentera berpatah balik kerana menyangka mendapat arahan daripada pusat kawalan.
"Ia memang dikesan di radar kami, tetapi pusingan-U itu dibuat oleh pesawat yang tidak merbahaya dan kami fikir boleh jadi ia adalah arahan menara kawalan.
“Pesawat yang tidak merbahaya memang melalui melalui ruang udara negara pada 8 Mac," katanya ketika membuat penggulungan perkara yang dibangkitkan oleh ahli-ahli Parlimen ketika membahas titah Yang di-Pertuan Agong. – 1 April, 2014.
Hujung Minggu Perlumbaan Formula One Dimulakan Dengan Persembahan Mr & Mrs Rampling di Marini's On 57 Kuala Lu... KUALA LUMPUR, Malaysia, 3 jam lalu 51 minit lalu | |
SesaSterlite Limited: Pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif dan Perubahan dalam Lembaga Pengarah Mumbai, 4 jam lalu 32 minit lalu |
COMMENTS